KENAPA DIRAIKAN BEKAS JASA MASUK BERSATU?

Tidak masuk akal sebenarnya bagi Bersatu meraikan kemasukan 60 orang bekas kakitangan Jasa ke dalam parti itu dalam suatu majlis khas diadakan di Shah Alam, semalam.

Jasa atau Bahagian Hal Ehwal Khas adalah unit propaganda UMNO yang menggunakan wang rakyat atau dana kerajaan dalam aktiviti sehariannya.

Sejak ditubuhkan kerjanya tidak laon  adalah mempromosi UMNO dan memburuk-burukkan serta memfitnah parti lawan, termasuk Pakatan Harapan dalam PRU14 lalu.

Ketua Pengarah Jasa terakhir sebelum kekalahan UMNO dalam pilihanraya lalu ialah Dr. Puad Zarkashi, bekas Ahli MT UMNO serta Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat.

Berikutan Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran kerajaan pada Mei lalu, Jasa telah dibubarkan dan pembubaran itu pada asasnya mendapat reaksi yang positif daripada rakyat.

Ini kerana, walaupun Jasa merupakan sebuah jabatan kerajaan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, peranannya kepada negara dan rakyat boleh dikatakan tidak ada, melainkan mempromosi UMNO dan para pemimpinnya.

Kini, setelah beberapa bulan berlalu, untuk apa sebenarnya Bersatu meraikan kemasukan “musuh sendiri” ke dalam parti itu?

Bukankah Jasa adalah musuh Pakatan Harapan dalam PRU14 lalu dan jika  UMNO tidak hilang kuasa, apakah mereka ini mahu menyertai Bersatu?

Jadi, tidaklah sukar sebetulnya untuk memahami apa tujuan kemasukan mereka ini ke dalam Bersatu.

Lebih menghairankan, mengapa pegawai Perdana Menteri merangkap Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu sendiri yang meraikan kemasukan mereka?

Kenapa tidak dibiarkan saja bekas kakitangan Jasa itu menyerahkan borang keahlian secara peribadi kepada Ketua Bahagian Bersatu di mana mereka ingin menjadi ahli?

Mengapa mesti ada majlis khas?

Besar sangatkah mereka itu?

Selain itu, dengan meraikan kemasukan tersebut, apakah Bersatu sebenarnya mahu menggunakan mereka itu sebagai tenaga propaganda khas melalui penubuhan unit baru di bawah Pejabat Perdana Menteri yang bakal menggunakan dana kerajaan juga?

Jika tidak ada tujuan tertentu, apa mustahak dan besar sangat kedudukan 60 bekas kakitangan Jasa itu sehingga perlu diraikan sebegitu rupa kemasukan mereka ke dalam Bersatu?

– http://shahbudindotcom.blogspot.com

.