JHO LOW TETAP DICARI WALAU SUKAR, KATA PM

MENCARI ahli perniagaan yang dikehendaki Low Taek Jho mungkin seperti mencari “jarum dalam jerami” tetapi kerajaan yakin dapat mencarinya dan membawanya ke muka pengadilan, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Kita tidak dapat kesan dia, tetapi kita akan cari dia. Hanya ada tujuh bilion orang di dunia ini, jadi tidaklah begitu susah.

“Jika kita boleh cari jarum dalam jerami. Dia (Low) akan jadi jarum dan kami akan cari dalam jerami,” katanya.

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bulan lalu mengeluarkan waran tangkap terhadap ahli perniagaan dalam pelarian itu dan empat yang lain berhubung pertuduhan jenayah berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Low, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, dikehendaki berhubung beberapa kesalahan berkaitan skandal itu.

Low mempertahankan dirinya menerusi beberapa kenyataan dikeluarkan oleh pasukan peguamnya, atau syarikat perhubungan awam.

Dr Mahathir juga menolak dakwaan Jho Low bahawa pertuduhan terhadapnya berunsurkan politik.

“Dia (Low) kata banyak kali (bawa dia balik berunsurkan politik).

“Dia juga berunsurkan politik untuk curi duit.”

Jho Low juga menyelar laporan Wall Street Journal yang mendakwa China menawarkan untuk menyelamatkan 1MDB sebagai sebahagian kempen “berunsurkan politik” untuk mencemari namanya.

– https://www.themalaysianinsight.com

.