BAKAL AGONG KE-16 DIKETAHUI 24 JANUARI INI

KUALA LUMPUR – Ketua negara baharu akan diketahui pada 24 Januari ini selepas Majlis Raja-raja mengadakan mesyuarat khas bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16 dalam kalangan raja-raja Melayu.

Pemilihan Agong baru itu dilakukan susulan peletakan jawatan Sultan Muhammad V semalam.

Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata mesyuarat khas bagi tujuan memilih Agong dan timbalan diputuskan oleh raja-raja dalam pertemuan di Istana Negara hari ini.

Dalam tempoh kekosongan takhta itu, Timbalan Agong, Sultan Nazrin Shah akan memangku jawatan berkenaan sehingga urusan pelantikan ketua negara yang baru selesai.

Pertemuan turut menetapkan 31 Januari sebagai tarikh mesyuarat khas bagi acara mengangkat sumpah jawatan oleh Agong baru dan timbalannya.

Pertemuan hari ini dihadiri Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin; Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail; Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir; Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar; Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah tidak berangkat menghadiri pertemuan itu kerana kurang sihat manakala Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berada di luar negara.

Menurut laman web rasmi Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, sekiranya kekosongan berlaku kepada jawatan Agong dan Timbalan Agong, urusan pemilihan hendaklah dibuat tidak lewat daripada 4 minggu dari tarikh berlaku kekosongan jawatan itu.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berharap pelantikan Agong ke-16 dapat diputuskan secepat mungkin memandangkan beliau sendiri perlu bertemu Agong bagi urusan tertentu.

Peletakan jawatan Sultan Muhammad V adalah yang pertama dalam sejarah Malaysia yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

Sultan Muhammad V menjalankan tanggungjawab jawatan itu mulai 13 Disember 2016 sehingga 6 Januari 2019.

– FMT

.