KEJUTAN DAN DEBARAN

Lewat petang tadi, kejutan berlaku dalam negara berikutan perletakan jawatan serta-merta Sultan Muhammad V sebagai Yang Dipertuan Agong ke-15.

Dengan berkhidmat hanya kira-kira dua tahun atau 750 hari daripada tempoh lima tahun yang sepatutnya, ini adalah pertama kali dalam sejarah negara Yang Dipertuan Agong meletakkan jawatannya.

Lantaran itu, di seluruh negara dan di media sosial, sarat perbualan rakyat berkenaan dengan perletakan jawatan itu.

Berikutan perletakan jawatan itu, Majlis Raja-Raja dijangka akan bermesyuarat esok untuk memilih Yang Dipertuan Agong yang baru.

Apakah Sultan Perak yang kini Timbalan Yang Dipertuan Agong akan dipilih sebagai Yang Dipertuan Agong?

Jika ikut penggiliran, selepas Sultan Kelantan, giliran seterusnya yang menjadi Yang Dipertuan Agong ialah Sultan Pahang, diikuti Sultan Johor dan kemudian Sultan Perak.

Oleh kerana Sultan Pahang sedang gering, adakah Sultan Johor akan dipilih menjadi Yang Dipertuan Agong yang ke-16?

Sementara menunggu esok, seluruh negara berdebar-debar menantinya.

–¬†http://shahbudindotcom.blogspot.com

.