TIADA BINCANG SULIT, AZMIN HANYA ‘TERSEREMPAK’ HISHAMMUDDIN

KAJANG – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan tiada perbincangan sulit dengan pemimpin Umno di luar negara, sebaliknya mereka “terserempak” ketika bercuti.

“Kita perlu bertamadun. Janganlah ingat apabila berjumpa (individu parti lawan), harus ada perbincangan politik,” kata timbalan presiden PKR, lapor Berita Harian hari ini.

Menegaskan “tidak bercuti” bersama Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Azmin berkata beliau juga kerap bertemu rakyat Malaysia di luar negara tetapi “tidak jadi isu”.

“Janganlah (buat spekulasi). Hubungan saya dengan Hishammuddin sudah lama terjalin,” kata menteri hal ehwal ekonomi, yang juga bekas menteri besar Selangor.

Menjadi satu-satunya pemimpin pembangkang ketika itu hadir majlis kahwin anak Hishammuddin, Azmin mahu “berbaik dengan semua orang” demi kebaikan negara.

Foto keluarga Azmin dan Hishammuddin di resort percutian Marrakesh, Maghribi mendapat perhatian media. Foto itu dimuat naik Ameer, anak sulung Azmin, di Twitter.

Paparan tersebut menjadi kontroversi dipercayai berikutan sedikit ketegangan antara Azmin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika itu berkaitan isu lantikan jawatan parti.

– https://www.projekmm.com

.