ADA USAHA SEKAT ANWAR JADI PM? AZMIN KATA TAK TAHU

TIMBALAN Presiden PKR Azmin Ali berkata beliau tidak tahu mengenai dakwaan berhubung usaha menghalang presidennya Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

Azmin yang juga menteri hal ehwal ekonomi berkata beliau tidak tahu menahu mengenai dakwaan tersebut ketika ditemui pemberita di Semenyih hari ini.

Beliau juga mahu agar cakap-cakap politik seperti itu dihentikan kerana Pakatan Harapan sudahpun membentuk persefahaman agar Anwar mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Dr Mahathir Mohamad kelak.

“Saya tidak tahu menahu tentang perkembangan ini. Pada pandangan saya, persefahaman dalam PH sebelum PRU14 ialah (Dr Mahathir) diangkat jadi PM dan selepas itu akan diteruskan oleh (Anwar).

“Persefahaman ini masih kekal. Cuma pada pandangan saya, tentang sentimen rakya, hentikanlah cakap-cakap ini,” katanya kepada pemberita.

Jelasnya tumpuan pada masa ini harus dihala kepada usaha membangun ekonomi, pemulihan isu kewangan serta mengurangkan kos sara hidup rakyat.

“Ini patut jadi tanggungjawab kerajaan pada hari ini, dan inilah yang sedang dilakukan oleh Tun M dan jemaah menteri Kabinet. Kita fokus kepada pembangunan negara dan matikan semua cakap cakap politik ini,” katanya.

Anwar pada Jumaat lalu dilaporkan mengakui ada pihak dalam Pakatan Harapan (PH) yang tidak bersetuju dengan rancangannya mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Dr Mahathir Mohamad.

Beliau yang diwancara akhbar bisnes Financial Times (FT) juga tidak menafikan terdapat beberapa individu dalam gabungan parti kerajaan itu yang mempunyai agenda berbeza.

Inilah kali pertama Anwar secara terus-terang mengakui konspirasi terhadapnya apabila para penyokong setianya menimbulkan isu berkenaan semasa pemilihan PKR.

Anwar mengakui demikian susulan dakwan kumpulan penyokong veterannya Otai Reformasi yang mendakwa usaha menghalang Anwar daripada menjadi perdana menteri dalam tempoh dua tahun.

Isu pengambilalihan jawatan tertinggi itu kembali menjadi tajuk perbincangan utama sejak pasukan Rafizi Ramli berkempen menentang Mohamed Azmin Ali semasa pemilihan PKR.

Awal minggu lalu Setiausaha Agung PH Saifuddin Abdullah berkata tiada perjanjian formal bagi Dr Mahathir menyerahkan jawatannya kepada Anwar dalam tempoh dua tahun.

Tetapi Dr Mahathir berulang kali mengatakan beliau akan menepati janji untuk menyerahkannya, dan Anwar berkata beliau tidak mempunyai alasan untuk tidak mempercayainya.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.