TIDAK MUDAH JADI BAPA, GUAN ENG TAWAR SOKONGAN UNTUK MAT SABU

KELUARGA Mohamad Sabu perlu diberi masa dan ruang untuk menangani penahanan anak pemimpin Amanah itu dalam operasi serbuan berhubung dadah, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng, lapor New Straits Times.

Akhbar harian itu menyatakan setiausaha agung DAP itu turut bersimpati dengan situasi yang dihadapi Mohamad namun tetap memuji menteri pertahanan itukerana jujur dalam menangani media yang melaporkan perkara itu.

Lim, yang juga Setiausaha Agung DAP, turut berkata undang-undang harus diberi ruang untuk menjalankan peranannya.

“Saya hanya mahu suarakan sokongan saya kepada sahabat saya, Mohamad. Saya bersimpati dengannya. Saya mahu dia tahu bahawa kita bersama dengan beliau pada waktu ini.

“Saya harap dia akan jadi lebih kuat dalam menghadapi cabaran terbaru ini. Dia harus diberi penghormatan sewajarnya.

“Sebagai bapa, saya tahu bahawa tidak mudah menjadi bapa. Walaupun mungkin sukar menjadi seorang menteri, bahkan sebenarnya lebih sukar menjadi seorang bapa,” katanya dipetik sebagai berkata dalam laporan akhbar itu.

Malam tadi Mohamad berkata beliau akan membiarkan pihak berkuasa menyiasat kes anaknya kerana anaknya turut tertakluk di bawah undang-undang sama seperti orang lain.

Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, berkata beliau dimaklumkan mengenai penangkapan tersebut oleh pihak polis.

“Berikutan penangkapan itu, keluarga saya akan menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan susulan mengikut lunas undang-undang.

“Anak saya sama seperti anak-anak orang lain dan tertakluk di bawah proses undang-undang yang sama,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.

Terdahulu akhbar melaporkan bahawa Saiful Islam telah ditahan di luar pusat hiburan di Jalan Ampang kira-kira pukul 12.30 pagi selepas ujian ke atasnya positif ganja.

Lelaki berusia 31 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya kerana mengambil dadah dan kesalahan itu membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau dua tahun penjara.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.