BN TEWAS PRU14 SALAH HISHAM DAN ZAHID, KATA CHIN TONG

KEMENANGAN Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak sebesar kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya itu, dan ia berpunca daripada pemimpin kanan Umno Hishammuddin Hussein dan Ahmad Zahid Hamidi, kata Liew Chin Tong.

Pemimpin DAP yang menjadi salah seorang arkitek di sebalik kemenangan PH, khususnya di Johor itu berkata dua pemimpin Umno itu bertanggungjawab atas kekalahan BN.

“Dalam Umno, ada dua orang yang merosakkan struktur Umno. Ia bermula dengan Hishammuddin dan berakhir dengan Zahid,  ” katanya dalam temu bual eksklusif dengan The Malaysian Insight, baru-baru ini.

“Pada pilihan raya 2004, lebih 60% bukan Melayu menyokong Abdullah Ahmad Badawi, memberi mereka kemenangan besar. Tetapi kemudian, Hishammuddin yang pada masa itu ketua Pemuda, menghunus keris ketika perhimpunan agung Umno 2005.

“Ini terus memesongkan sokongan bukan Melayu dan mematahkan BN.”

Timbalan menteri pertahanan itu berkata situasi itu bermulanya pengakhiran BN kerana kemusnahan struktur itu menyebabkan bukan Melayu mempertikaikan komitmen gabungan itu untuk mempertahankan kepentingan bukan Melayu.

Liew berkata “orang bodoh” kedua ialah Zahid yang menunjukkan minat untuk bekerjasama dengan PAS sejak 2014 dan mengelirukan penyokong mereka sendiri.

“Kejatuhan utama Umno berpunca daripada dua orang ini yang gagal memahami pengundi dan keperluan BN,” kata Liew yang tewas di Ayer Hitam ketika pilihan raya. Beliau bagaimanapun dilantik sebagai senator dan diserahkan jawatan timbalan menteri.

Liew berkata walaupun BN terjejas akibat isu menyelubungi Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor, Hishammuddin dan Zahid menyebabkan kerosakan paling teruk dalam tempoh 10 tahun dengan mencipta kesilapan dalam Umno.

Menurut data Umno, sokongan Cina kepada BN pada PRU14 hanya 2.4% sementara PAS secara praktikalnya tiada sokongan langsung. Dalam kalangan pengundi India, BN hanya dapat 26% berbanding 70% yang diperolehnya selama ini.

Liew berkata strategi tiga penjuru Zahid dan PAS mainkan dalam PRU14 tidak membantu BN.

Walaupun bekas ahli Parlimen Kluang itu tewas di Ayer Hitam akibat strategi tiga penjuru, BN akhirnya kalah lebih banyak pertandingan tiga penjuru kepada PAS dan PH. Daripada 77 pertandingan tiga penjuru di semenanjung, BN hanya menang 32 sementara PH menang 22 dan PAS, 23.

Tetapi Liew, 40, berkata beliau tidak menyesal atas kekalahannya, kerana PH menang besar di Johor, memecahkan kubu Umno.

Menjelang pilihan raya itu, Liew meramalkan kejatuhan BN akan bermula di selatan negeri Johor ditambah dengan 15% peralihan undi Melayu daripada BN.

Kemusnahan struktur BN berpunca daripada dua pemimpin kanan Umno, Hishammuddin Hussein dan Ahmad Zahid Hamidi, kata pemimpin DAP Liew Chin Tong. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Januari, 2019.
Kemusnahan struktur BN berpunca daripada dua pemimpin kanan Umno, Hishammuddin Hussein dan Ahmad Zahid Hamidi, kata pemimpin DAP Liew Chin Tong. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Januari, 2019.

Di Johor, PH menang 13 lagi kerusi Parlimen, menjadikan ia 18 daripada 26 sementara menggandakan kerusi dewan undangan negeri (DUN) daripada 16 kepada 36 untuk membentuk kerajaan negeri. BN hanya menang 19 (sebelum ini 37) sementara PAS tidak menang langsung.

Selain Johor, PH menyapu bersih Melaka (15/28 kerusi DUN) dan Negeri Sembilan (20/36). Ia juga menggandakan kerusi Parlimen di Melaka kepada empat dan lima di Negeri Sembilan.

Liew berkata perbezaannya ialah apabila pengundi Melayu pilih PH di pantai barat, pengundi Melayu di pantai timur pilih PAS.

Sukar untuk BN kembali

Liew berkata penting untuk PH mengakui bahawa ia tidak menang PRU14 tetapi sebenarnya Najib dan Rosmah yang kalah.

“Oleh itu, PH perlu merendah diri dan bekerja keras untuk menang pada masa akan datang.

“Tetapi saya tidak pasti jika BN boleh menang pada pilihan raya depan. Saya percaya PH akan hanya boleh ditewaskan jika ada alternatif lebih baik. Ia tidak boleh ditewaskan dengan patah balik,” kata Liew ketika ditanya adakah BN mampu kembali pada PRU15.

Katanya, BN yang mengetuai BN tidak akan dapat kembali dengan serius jika tidak memutuskan hubungan dengan Najib.

“Hanya jika Umno sampai ke peringkat di mana ia tiada lagi kaitan dengan Najib, atau memohon maaf atau mengubah keseluruhan pemimpinnya, baru ia boleh kembali.”

Liew berkata strategi semasa oleh MCA dan Umno nampaknya tidak dapat juga membantu BN.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.