VETERAN UMNO: HENTIKAN USAHA SINGKIR ZAHID

Veteran Umno meminta agar sebarang usaha dalam kepimpinan parti untuk menggesa Dr Ahmad Zahid Hamidi berundur sebagai presiden dihentikan.

Setiausaha Agung Veteran Umno, Mustapha Yaakub berkata, tiada keperluan untuk berbuat demikian kerana Anggota Parlimen Bagan Datuk itu masih lagi presiden Umno yang sah berdasarkan perlembagaan parti.

“Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah semua kepimpinan bahagian berhenti mempersoalkan kewajaran Ahmad Zahid untuk berhenti atau mengadakan sebarang usaha untuk memaksa Ahmad Zahid supaya berundur.

“Sebaliknya, mereka hendaklah memberi kerjasama dan sokongan padu kepada (timbalan presiden) Mohamad Hasan yang diberi tugas untuk menjalankan tugas-tugas presiden.

“Veteran Umno yakin beliau mampu menerajui parti sekiranya semua ketua bahagian dan anggota parlimen Umno yang masih ada memberi sokongan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan wujud gerakan kumpulan yang dirancang oleh salah seorang naib presiden Umno bagi menghapuskan pengaruh Ahmad Zahid dalam parti itu.

Kumpulan itu dikatakan mahu Ahmad Zahid melepaskan jawatan sebagai presiden parti dan menyerahkan tampuk kepimpinan parti sepenuhnya kepada Mohamad yang kini menggalas tugas presiden parti.

Naib presiden Umno yang dimaksudkan itu pernah memegang jawatan menteri besar dan menteri kabinet.

Tidak wajar dipersoal

Selain itu, sumber menambah, satu lagi punca kepemimpinan Ahmad Zahid ditolak adalah disebabkan rancangan untuk membawa Umno bekerjasama dengan PKR untuk kembali menjadi kerajaan.

Perkara itu, jelas sumber, dirancang selepas Umno tewas dalam pilihan raya umum (PRU) 9 Mei lalu.


Sementara itu, tambah Mustapha, keputusan Ahmad Zahid menyerahkan tugas kepada Mohamad tidak wajar dipersoalkan.

Jelasnya, ia adalah langkah tepat bagi meredakan kegelisahan dalam kalangan ketua-ketua bahagian dan anggota parlimen Umno yang menjadikan Ahmad Zahid sebagai “kambing hitam” untuk meninggalkan parti.

“Tindakan sesetengah pihak yang masih tidak berpuas hati dengan tindakan Ahmad Zahid itu dan mahukan beliau meletak jawatan adalah tidak wajar dan kurang bijak  pada saat Umno menghadapi masaalah tekanan dari pihak kerajaan sekarang.

“Ahmad Zahid dipilih oleh perwakilan dalam persidangan bahagian. Dia masih sah sebagai presiden sehingga dia berhenti atau dipecat oleh perhimpunan agung khas mengikut fasal 9 perlembagaan Umno.

“Walaupun begitu, tidak ada keperluan untuk Ahmad Zahid berundur buat masa ini atau mengadakan perhimpunan agung khas untuk menggugurkan Ahmad Zahid.

“Kalau pun Ahmad Zahid berhenti secara sukarela atau digugurkan, maka ianya tidak akan menyelesaikan masalah malah akan melemahkan lagi Umno,” katanya.

– M’kini

.