ANWAR SUDAH SEDIA JADI PM SEJAK 1998 LAGI SEBENARNYA, CUMA…

Daripada komen-komen yang diterima dalam blog dan facebook, selain beberapa rakan serta kenalan yang menghubungi saya, hampir semuanya bersetuju bahawa Tun Mahathir Mohamad kali ini tiada pilihan lain lagi selain wajib menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim sebagaimana yang sudah dijanji dan dipersetujui oleh Pakatan Harapan.

Kata mereka, Tun Mahathir mesti menunaikan janji tersebut tanpa berdalih macam-macam lagi kerana itulah sebahagian daripada kehendak rakyat apabila mereka memenangkan Pakatan Harapan dalam pilihanraya lalu.

Malah, mereka tidak setuju jika Tun Mahathir mahu melengah-lengahkan penyerahan jawatan itu, apalagi kiranya enggan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar.

Anwar, tambah mereka lagi, perlu diberi peluang membuktikan kemampuannya menerajui negara ini setelah usahanya berjaya mewujudkan gabungan pembangkang yang berakhir dengan menjadi kerajaan menumbangkan BN.

Jika tidak diberi peluang, bagaimana kita mahu tahu kemampuannya?

Dalam hal ini, selain berkaitan janji, Pakatan Harapan yang baru mentadbir negara ini juga perlu terus diperkukuhkan dari semasa ke semasa dan memungkiri janji terhadap Anwar pasti akan menyebabkan gabungan itu berpecah dengan sendirinya.

Kecuali, jika Tun Mahathir memang mahu melihat Pakatan Harapan berpecah atau masih ingin meneruskan amalan “divide and rule” yang menjadi kegemarannya ketika memimpin UMNO dahulu, maka tidak mustahil janji kepada Anwar itu dimungkirinya.

Tetapi, untuk apa lagi Tun Mahathir melakukannya?

Apakah beliau mahu dikenang dengan nama yang buruk setelah ketiadaannya nanti?

Lagi pula, dalam Pakatan Harapan sekarang, tidak ada calon lain yang terbaik selain Anwar yang layak dan sesuai untuk mentadbir negara ini.

Anwar bukan saja dikira sudah matang, penuh pengalaman, pernah ada pengalaman di puja, didera dan dipenjara yang tentu memberi banyak keinsafan kepadanya, bahkan beliau sebenarnya sudah lama bersedia untuk menjadi Perdana Menteri.

Jika tidak dipecat kerana persaingan kuasa, barangkali pada tahun 1998 dulu lagi beliau sudah pun menjadi Perdana Menteri.

Tetapi, itu sudah takdir yang harus dilaluinya dan Anwar dengan penuh reda dapat menerima semua itu serta memaafkan mereka yang melakukannya.

Yang penting, setelah 20 tahun berlaku selepas 1998 itu, tidak harus timbul lagi isu atau tanggapan kononnya Anwar belum bersedia untuk mengambil alih teraju pentadbiran negara dan Tun Mahathir perlu diberi lebih masa.

Anwar sudah lebih daripada bersedia sebenarnya sekarang ini, cuma Tun Mahathir saja yang nampaknya masih belum sedia 100 peratus untuk melepaskan jawatan Perdana Menteri itu kepadanya.

Bila sudah tiba untuk Tun Mahathir sedia menyerahkan jawatan itu, era baru diharapkan akan segera bermula di Malaysia ini lantaran sekarang ini pengaruh Tun Daim Zainuddin dilihat masih kuat dalam persekitaran kuasa Perdana Menteri yang tiada beza dengan pentadbiran selama 22 tahun sebelum ini.

– http://shahbudindotcom.blogspot.com

.