TINJAUAN: ORANG MELAYU TERBUKA TERIMA LIM, TAPI BUKAN AG ATAU CJ

Terdapat golongan Melayu yang lebih terbuka menerima Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan, tetapi tidak begitu menerima Tommy Thomas (gambar atas, kanan) sebagai peguam negara (AG) atau Richard Malanjum sebagai ketua hakim (CJ).

Perkara itu didedahkan Ilham Centre berdasarkan kajian yang dilakukan terhadap sekumpulan orang Melayu.

Menurut salah seorang penyelidik, Yusri Ibrahim, pengalaman Lim sebagai ketua menteri Pulau Pinang sebelum ini merupakan antara faktor responden lebih terbuka menerima beliau.

“Tetapi mereka tak boleh menerima Thomas dan Malanjum kerana bagi mereka, jika dua jawatan terpenting dalam negara itu dipegang oleh bukan Melayu, ia boleh memberi kesan terhadap isu perundangan yang membabitkan Islam.

“Mereka tidak bersetuju jika bukan Melayu memegang tiga jawatan tertinggi ini kerana berasakan pelantikan itu mengancam kedudukan Islam dan hak keistimewaan Melayu.

“Mereka juga mempertikaikan kenapa tiga jawatan tersebut tidak diberikan kepada orang Melayu Islam,” kata Yusri.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan hasil kajiannya dalam satu forum berjudul ‘Peralihan Melayu Islam: Ke mana halanya?’ di Penang Institute, George Town, Pulau Pinang malam tadi.

Untuk rekod, Lim dilantik sebagai menteri kewangan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad selepas Pakatan Harapan (PH) menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, 9 Mei tahun lalu.

Merit dan kelayakan

Sementara itu, kajian Ilham Centre berkenaan membabitkan 125 responden daripada 18 kumpulan sasaran yang terdiri daripada remaja (bawah 30 tahun), lelaki dan juga wanita daripada pelbagai lapisan umur.

Katanya, penemuan tersebut diperoleh daripada jawapan kumpulan responden yang lebih berusia dari utara, selatan, pantai timur dan tengah semenanjung Malaysia, manakala sebahagian kumpulan remaja dari pantai timur turut berkongsi pandangan yang sama.

Terdapat juga sebahagian responden yang menerima Lim, Thomas dan Richard kerana berasakan ketiga-tiganya mempunyai merit dan kelayakan yang wajar bagi menjawat jawatan masing-masing.

“Kumpulan ini datang dari pantai timur, Sabah dan Sarawak,” tambah Yusri lagi.

Richard Malanjum

 Ilham Centre menjalankan kaji selidik selama sebulan melibatkan enam kawasan termasuk Sabah dan Sarawak bagi mengukur naratif Melayu Islam selepas peralihan kuasa daripada pentadbiran BN kepada PH pasca PRU-14.

Berdasarkan penemuan Ilham Centre juga, tambah Yusri, PH hanya mampu meraih purata 26 peratus undi orang Melayu Islam pada PRU lalu, sementara selebihnya masih setia bersama Umno dan PAS.

PAS berjaya mempertahankan kemenangannya di Kelantan dan mengambil alih Terengganu daripada BN.

Menurut Yusri, di Kelantan, hanya sembilan peratus Melayu Islam mengundi PH, manakala di Terengganu (tujuh peratus), Kedah (25 peratus), Pahang (15 peratus), Perak (22 peratus), Perlis (29 peratus), Pulau Pinang (29 peratus), Selangor (39 peratus), Kuala Lumpur (38 peratus), dan Melaka (29 peratus).

“PH berjaya mengambil alih kerajaan daripada BN dengan sokongan padu yang diberikan oleh kaum bukan Melayu,” katanya.

Ada yang keluar kata kesat

Perkara tersebut menyaksikan berlakunya perubahan lanskap politik dalam pentadbiran, dengan barisan kerajaan sekarang terdiri daripada lebih ramai golongan bukan Melayu, manakala orang Melayu pula lebih ramai dalam barisan pembangkang.

“Apabila terjadi perkara ini, timbul kerisauan terhadap nasib dan masa depan orang Melayu, dan hak-hak keistimewaan mereka bawah pemerintahan PH.

“Responden kami risau adakah kerajaan mampu mempertahankan hak dan ekonomi orang Melayu Islam, serta kedudukan raja-raja yang juga merupakan ketua agama Islam dalam negeri masing-masing,” tambah Yusri lagi.

Dalam kaji selidik mereka di Sarawak pula, Yusri berkata responden Melayu menyuarakan kebimbangan mereka sekiranya PH berjaya menawan negeri itu pada PRU akan datang, orang Melayu Melanau akan kehilangan kuasa.

Apabila menyentuh tentang janji manifesto PH yang masih belum berjaya ditunaikan sepenuhnya, responden daripada semua negeri lebih bersikap ‘lembut’ terhadap kerajaan baru itu.

“Mereka lebih terbuka dan sanggup memberi lebih masa kepada kerajaan untuk melunaskan janji manifesto mereka.

“Kumpulan ini (responden) lebih teruja kerana mereka berjaya menukar kerajaan dengan undi mereka- sesuatu yang tidak pernah terjadi sebelum ini sejak 60 tahun lalu,” tambahnya.

Bagaimanapun, Yusri menjelaskan, golongan yang tidak mengundi PH pada PRU lalu lebih bersikap kritikal terhadap perkara tersebut.

Kumpulan itu terdiri daripada responden yang datang daripada semua kawasan kecuali kawasan tengah.

“Kumpulan ini sangat emosional apabila ditanya tentang manifesto PH.

“Ada yang mengeluarkan kata-kata kesat untuk menggambarkan perasaan mereka. Mereka mendakwa mereka diberikan janji-janji palsu, dikencingkan, dan mendakwa PH sama saja macam BN.

“Malah ada yang dakwa PH lebih teruk daripada BN,” kata Yusri lagi.

Forum malam tadi turut dihadiri oleh pegawai eksekutif Penang Institute Ooi Kee Beng yang menyampaikan ucapan pembukaan, dan dikendalikan oleh moderator Mohd Izzuddin Ramli yang juga merupakan salah seorang penyelidik Penang Institute.

Ahli panel lain termasuk rakan penyelidik Wong Chin Huat, editor ProjekMM Fathi Aris Omar dan pegawai eksekutif Lawyers for Liberty Latheefa Koya.

– M’kini

.