MENJAWAB TULISAN MAHATHIR TENTANG KEDAULATAN UNDANG-UNDANG

Sudah banyak spekulasi berkeliaran berkenaan isu peletakan jawatan Yang di-Pertuan Agong dan pelantikan YDPA yang baru.

Macam-macam teori yang dikongsi oleh netizen, lebih-lebih lagi berkenaan tindakan Mahathir Mohamad untuk mencampuri urusan Majlis Raja-Raja dalam memilih YDPA yang baru.

Mahathir telah berkongsi satu peringatan kepada raja-raja bahawa mereka tidak akan terkecuali daripada pelaksanaan undang-undang melalui blog bertajuk “rule of law” yang secara jelas, berat dengan ugutan terhadap raja-raja.

Prinsip ‘rule of law’ memang wajar ditegakkan tanpa pengecualian. Namun dalam konteks sekarang, prinsip ini bagaikan diguna hanya untuk tujuan politik dan tidaklah ikhlas untuk menegakkan undang-undang.

Di mana prinsip ‘rule of law?’

Contohnya, di manakah prinsip ‘rule of law’ dalam kes rasuah Lim Guan Eng? Kes yang ternyata jelas wujud elemen salah laku telah digugurkan oleh Peguam Negara Tommy Thomas yang dipilih oleh Mahathir.

Kes tersebut sepatutnya diteruskan agar Lim Guan Eng dapat bersihkan nama beliau jika tidak bersalah bukan diselamatkan dengan cara mudah melalui pengguguran kes.

Di manakah juga prinsip ‘rule of law’ dalam kes kematian anggota bomba arwah Adib? Rusuhan kuil yang telah bertukar menjadi rusuhan perkauman kerana diapi-apikan oleh ahli-ahli politik yang tidak bertanggungjawab telah mengorbankan nyawa seorang penjawat awam yang sedang menjalankan tugas.

Hingga hari ini, masih tiada berita keadilan akan ditegakkan. Dalam kes yang sama, prinsip ‘rule of law’ turut dibelakangkan apabila keputusan mahkamah dengan sesuka hati telah dihiraukan oleh kerajaan apabila kuil tersebut ingkar untuk berpindah walaupun wang pampasan telah diambil.

Begitu juga dengan peristiwa berdarah Memali. Di manakah prinsip ‘rule of law’? Sehingga kini ramai masih tertanya-tanya kenapa begitu ramai anggota keselamatan dikerah untuk menangkap seorang Ibrahim Libya?

Pemimpin Pakatan Harapan yang dahulu memperjuangkan pembentukan Suruhanjaya Diraja untuk mencari kebenaran sekarang diam membisu apabila sudah berkuasa.

Dr M, PH amat hipokrit

Apa sebenarnya nilai prinsip ‘rule of law’ bagi Kerajaan Pakatan Harapan? Bukti-bukti yang disenaraikan secara terang menunjukkan bahawa Mahathir dan kerajaannya amat hipokrit dalam menegakkan dan serta menghormati undang-undang. Mereka bukanlah malaikat seperti yang mereka ingin tonjolkan.

Lebih penting lagi, perkongsian blog bertajuk ‘rule of Law’ ini adalah satu permulaan rasmi kempen media memburukkan raja-raja oleh Mahathir walaupun sebelum ini penasihat kanan beliau A Kadir Jasin telah pun secara tidak rasmi memulakan kempen memburukkan YDPA.

Ini bukanlah perkara baru tetapi satu modus operandi yang sama digunakan oleh Mahathir ketika krisis Perlembagaan untuk mengekang kuasa raja-raja pada tahun 1992-1993.

Ketika itu, akhbar-akhbar yang dikawal Mahathir telah menerbitkan pelbagai cerita yang boleh menimbulkan kemarahan orang ramai terhadap institusi diraja.

Kisah prebet Adam

Terdapat juga fitnah-fitnah yang telah disuap kepada rakyat supaya dapat memberi justifikasi kepada tindakan Mahathir ketika itu.

Contohnya kisah Prebet Adam yang memberi gambaran bahawa raja zalim harus ditentang.

Sejarah mengajar kita untuk tidak mudah terpedaya. Jika dulu kita bergantung kepada maklumat daripada akhbar utama yang dikawal kerajaan, kini kita mempunyai alternatif untuk mengesahkan maklumat tersebut melalui internet yang tidak dapat dikawal oleh kerajaan.

Mahathir bagaikan tidak belajar daripada protes Icerd. Orang Melayu telah bersatu apabila beliau mengumumkan Malaysia akan ratifikasi Icerd di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Keputusan beliau bagaikan menjolok sarang tebuan dan sekarang sekali lagi beliau mahu mengganggu-gugat banteng pertahanan terakhir orang Melayu dan Islam melalui kempen negatif terhadap institusi diraja.

Insaflah Mahathir.

FIRDAUS MUHAMMAD

– M’kini

.