PECAT IMAM MUNGKIN AZAM TAHUN BARU MUFTI – ZAMIHAN

Ustaz kontroversi Zamihan Mat Zain mengaitkan pemecatan 25 iman di Perlis dengan perbezaan aliran agama dengan pentadbir agama negeri.

“Ada orang itu laung-laungkan keluasan fikah, keterbukaan pandangan, berlapang dada, tapi dia pecat imam-imam yang tak sehaluan dengan pandangan Wahabinya atas alasan ‘masalah disiplin’.

“Imam-imam dia pecat, tapi kontrak dia sebagai mufti dia minta dilanjutkan,” katanya dalam satu hantaran Facebook.

Zamihan bagaimanapun tidak menyebut kes di Perlis secara khusus.

Semalam, 25 imam dilapor ditamatkan perkhidmatan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (Jaips) berkuat kuasa 1 Januari tanpa dinyatakan sebarang alasan.

Dua bekas iman dilaporkan berkata pemecatan itu dikatakan berpunca daripada amalan seperti berzikir beramai-ramai selepas solat, membaca qunut, membaca Yasin pada malam Jumaat serta berselawat ketika solat tarawih.

Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin bagaimanapun berkata pemecatan itu dilakukan terhadap imam-imam ‘tua’ agar dapat digantikan dengan yang lebih muda.

Beliau turut membangkitkan masalah imam yang tidak mampu membaca al-Quran dengan sempurna, dikaitkan dengan disiplin, tidak menghadiri kurus, tidak membaca khutbah Jumaat disediakan, membawa penceramah luar dan menyentuh isu politik dalam ceramah di masjid.

Bagaimanapun, Zamihan berkata, imam yang berusia dipecat kerana kebanyakannya menolak fahaman Wahabi.

Gelaran ini bagaimanapun ditolak oleh istana dan tokoh agama negeri.

“Imam-imam dan tok guru yang tua ni kebanyakannya orang alim yang menolak fahaman Wahabi. Sebab itu dia pecat dan larang ceramah. Namun, rakyat negeri itu ramai yang masih Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Mungkin ini azam tahun barunya iaitu memecat imam,” sindir Zamihan.

Sementara itu, tidak lama selepas hantaran Facebook itu dinaikkan, pengendali akaun Zamihan turut memuat naik satu undian buat pengikut-pengikut media sosial itu.

Undian tersebut meminta pandangan orang ramai sama ada mereka bersetuju fahaman Wahabi diamalkan di Perlis ataupun tidak.

“Malam ini kita buat undian untuk melihat kefahaman dan kesedaran umat Islam.

“adakah negeri perlis mengamalkan fahaman Wahabi?” katanya lagi.

Zamihan dan dan Mohd Asri sememangnya terkenal sebagai ‘musuh’ yang saling membidas satu sama lain dalam ceramah mereka.

– https://www.malaysiakini.com

.