NAJIB, ARUL KANDA DIBICARAKAN BERSAMA KES PINDA LAPORAN AUDIT 1MDB

BEKAS perdana menteri Najib Razak dan bekas ketua pegawai eksekutif 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Arul Kanda Kandasamy akan dibicarakan bersama atas tuduhan mengubah laporan audit terhadap syarikat pelaburan negara itu.

Malaysiakini melaporkan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Azura Alwi hari ini membenarkan permohonan pendakwa raya untuk kedua-dua tertuduh dibicarakan bersama.

Peguam N. Svananthan yang mewakili Arul Kanda tidak membantah.

Najib dan Arul Kanda didakwa secara berasingan pada 12 Disember; bekas perdana menteri dengan tuduhan menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dalam bentuk perlindungan daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Beliau didakwa melakukan demikian dengan “mengarahkan supaya laporan akhir pengauditan 1MDB yang sedang disedia dipinda sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan dan dibentangkan kepada (PAC).

Arul Kanda didakwa bersubahat dengan bekas perdana menteri, yang juga menteri kewangan dan memantau 1MDB pada masa itu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di antara 22 Februari hingga 26 Februari 2016 di Kompleks Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.

Pada November, Ketua Audit Negara Madinah Mohamad mendedahkan laporan audit 1MDB dipinda atas arahan Najib.

Madinah berkata dua perkara utama dikeluarkan daripada laporan itu, iaitu tentang kehadiran ahli perniagaan dalam pelarian Low Taek Jho atau Jho Low dalam mesyuarat lembaga pengarah 1MDB dan status kewangan syarikat pelaburan itu.

Susulan kenyataan Madinah itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia membuka kertas siasatan abharu dan mengumumkan akan memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan.

Di mahkamah hari ini, ketua pendakwa raya Gopal Sri Ram berkata pihaknya akan juga memohon supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

– https://www.themalaysianinsight.com

.