MANOGARAN CALON PAKATAN DI PRK CAMERON HIGHLANDS

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan M Manogaran daripada DAP sebagai calon gabungan itu untuk bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands pada 26 Januari.

Mahkamah Pilihan Raya membatalkan keputusan 9 Mei untuk kerusi Parlimen Cameron Highlands selepas mendapati berlaku rasuah untuk mendorong pengundi memilih C Sivarraajh, calon Barisan Nasional (BN) yang menang dalam pertandingan lima penjuru pada PRU14, Mei lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengisytiharkan naib presiden MIC itu hilang kelayakan untuk bertanding dalam PRK Cameron Highlands kerana tersabit dalam amalan rasuah.

Sivarraajh juga dilarang mendaftar sebagai pengundi atau calon pilihan raya bagi tempoh lima tahun bermula 13 Disember, 2018.

Pada PRU14, Sivarraajh menang dengan 10,307 undi, mendapat majoriti tipis 597 undi berbanding Manogaran (9,710).

Pada pilihan raya itu, PAS memperoleh 3,587 undi, PSM (680) dan Berjasa (81).

Manogaran memfailkan petisyen yang kemudiannya membatalkan kemenangan BN itu.

Dr Mahathir mengumumkan pencalonan Manogaran kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat majlis presiden PH di Yayasan AlBukhary di Kuala Lumpur.

“Calon kami ialah M Manogaran. Kami akan menang PRK ini,” kata Dr Mahathir.  

Manogaran yang turut hadir pada sidang media itu, bagaimanapun tidak bercakap dengan media.

Beliau yang juga seorang peguam memenangi kerusi Cameron Highlands pada 2013 atas tiket PKR. Sebelum itu, beliau pernah menjadi ahli Parlimen Teluk Intan.

Bulan lalu, Manogaran memberitahu The Malaysian Insight beliau mungkin dipilih sebagai calon kerana beliau tidak pernah berhenti bekerja di Cameron Highlands bagi pihak DAP walaupun tewas kepada Sivarraajh.

Katanya, cawangan DAP di situ sudah menggerakkan jentera pilihan raya dalam persediaan PRK itu.

Hari penamaan calon akan diadakan pada 12 Januari.

– https://www.themalaysianinsight.com

.