DAP PERAK BIDAS KENYATAAN NAIB PENGERUSI BERSATU

DAP Perak membidas tindakan Naib Pengerusi Bersatu Abdul Rashid Abdul Rahman yang menggesa kerajaan menyalurkan kontrak atau projek kepada ketua bahagian parti berkenaan.

Pengerusinya, Ngar Kor Ming berkata perkara itu bukan budaya yang diamalkan Pakatan Harapan (PH) selain dilihat mampu mencemarkan imej selaku kerajaan memerintah.

“DAP Perak tidak bersetuju. Saranan kami adalah jangan bawa budaya buruk Barisan Nasional ke dalam Pakatan Harapan.

“Pakatan Harapan juga menang kerana rakyat mahu kerajaan yang telus, bersih, adil kepada semua selain rakyat perlu didahulukan pada ketika ini,” katanya ketika pada sidang media selepas menghadiri majlis penyerahan watikah pelantikan ketua kampung baharu di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini.

Nga berkata PH juga akan terus komited untuk melaksanakan tender terbuka terhadap mana-mana projek yang berada di bawah seliaan kerajaan negeri.

Pada 30 Disember lalu, Abdul Rashid dalam ucapan penggulunggan ketika Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu Kali Ke-2 menegaskan setiap ketua bahagian perlu memperoleh lebih wang dan peluang bagi membolehkan mereka mempertahankan kemenangan PH untuk pilihan raya akan datang.

Kenyataan berkenaan bagaimanapun dibidas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada 1 Januari lalu, selain menegaskan Bersatu sendiri akan menentang amalan politik naungan itu secara total.

– Bernama

.