MOHD AMAR: BAGUS KALAU HUSAM BOLEH BANTU KELANTAN

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah beranggapan cadangan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Husam Musa untuk memajukan sektor pelancongan negeri itu sebagai usaha yang baik.

Ditanya mengenai cadangan Husam membangunkan sebuah Taman Ketamadunan Jepun di Kelantan, Mohd Amar berkata kerajaan negeri sedia memberi kerjasama asalkan idea itu demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat.

“Baguslah kalau dia boleh buat, sebab sekarang ini PH ada kuasa.

“Kita pun terbuka apa juga perkara yang boleh membantu kerajaan negeri dan rakyat. Kita beri kerjasama, tak ada masalah,” jelasnya ketika ditemui media selepas mesyuarat exco kerajaan Kelantan di Kota Bharu hari ini.

Menurut Mohd Amar, kerajaan Kelantan sebelum ini juga ada berbincang dengan kerajaan Jepun untuk membina taman di Pantai Kuala Pak Amat iaitu lokasi pendaratan tentera Jepun pada 1941.

“Kita ada bincang dengan pihak Jepun untuk buat satu Taman Pendamaian di Kuala Pak Amat, cuma proses pelaksanaan masih di peringkat awal.

“Kita juga sudah isytiharkan kawasan itu sebagai kawasan untuk tarikan pelancong. Cuma nak bangunkan itu, sebab kawasan itu selalu banjir, itu isu kita kena fikir.

“Kalau kita buat bangunan, kemudian banjir musim tengkujuh datang, masalah besarlah. Ini antara pertimbangan-pertimbangan kita,” katanya.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan cadangan Husam yang juga anggota dewan negara yang mahu mempopularkan Pantai Pak Amat sebagai produk pelancongan negeri itu.

Menurut beliau, dari segi fakta sejarah, kawasan itu adalah lokasi terawal tercetusnya Perang Dunia II.

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar diadakan satu pusat ketamadunan Jepun untuk menarik minat pelancong datang ke Kelantan.

– M’kini

.