GARA-GARA TOLAK KRONISME, SYED SADDIQ DISERANG ORANG BERSATU

SYED Saddiq Abdul Rahman menjadi sasaran serangan pemimpin partinya hari ini susulan pendirian ketua Pemuda Bersatu itu ke atas amalan kronisme dalam parti tersebut.

Satu perbualan dalaman parti itu antara lain menunjukkan pemimpin Bersatu menggelar Syed Saddiq “kurang ajar” kerana menentang saranan agar ketua bahagian mendapat kontrak kerajaan.

“(Syed) Sadiq perlu basuh dosanya yang membuka aib Bersatu, perlu mohon maaf kepada Wilayah Persekutuan dan ketua-ketua bahagian sekalian.

“Saya berjanji akan menggerahkakn seluruh negara untuk tolak Sadiq,” kata seorang pemimpin parti dalam rakaman teks perbualan yang tular di media sosial hari ini.

Seorang lagi pemimpin parti berkata kenyataan Syed Saddiq dalam perhimpuan agung tahunan parti itu hujung minggu lalu juga satu perkara melampau dan tidak menghormati mereka.

“Armada tidak kenal siapa dicabarnya. Syed Saddiq tidak mendidik mereka cara menghormati. Saya nak tengok bagaimana Armada bergerak tanpa sumber,” kata pemimpin itu.

Perbualan itu merujuk kepada ucapan Syed Saddiq yang menyelar saranan naib presiden, Abdul Rashid Abrul Rahman agar ketua bahagian dan cawangan mendapat projek kerajaan.

Rashid dalam ucapan terdahulu di perhimpunan itu berkata projek itu boleh disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan yang dicadangkannya agar dihidupkan semula.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini menegaskan bahawa amalan berkenaan tidak akan dilakukan oleh kerajaan baharu dan menyifatkan cadangan Abdul Rashid sebagai pandangan peribadi.

Dr Mahathir berkata kerajaan tidak akan bertindak seperti Barisan Nasional yang menyalahguna JPP untuk memberi kontrak dan tender kepada pihak yang tidak layak.

Perdana menteri mengumumkan pembubaran JPP dan beberapa agensi lain yang dianggap betujuan politik pada Mei sejurus selepas membentuk kerajaan baharu

JPP merupakan jabatan penyelia Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan yang terdiri daripada lantikan politik dari kalangan pemimpin parti Barisan Nasional di negeri yang tidak dikuasainya.

Jawatankuasa berkenaan dilihat menjadi terlalu berunsur politk walhal peranannya dapat dilaksanakan oleh pegawai kerajaan lain.

Sebelum pembubarannya, JPP  berada bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

– https://www.themalaysianinsight.com

.