ADA APA DI SEBALIK CUTI BERSAMA AZMIN DAN HISHAMMUDDIN?

Sebelum ini, ketika tersebar gambar dan video Anwar Ibrahim berbual mesra dan bergelak ketawa dengan beberapa Ahli Parlimen UMNO di Parlimen, kecoh seluruh negara membuat pelbagai spekulasi mengenainya.

Walhal, kejadian itu hanyalah suatu kebetulan di mana memang menjadi kebiasaan sesama Ahli Parlimen bergurau senda sesama mereka.

Namun, oleh kerana ia melibatkan Anwar dan Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang baru hilang kuasa, gurau senda dan gelak ketawa itu segera ditafsirkan ada agenda yang tersembunyi untuk tujuan mempercepatkannya menjadi Perdana Menteri.

Begitulah politik adanya….

Kemudian Rafizi Ramli memuat-naik gambar pertemuannya dengan Khairy Jamaluddin dan Nurul Izzah Anwar di sebuah restoran di ibu kota.

Berbeza dengan gurau senda dan gelak ketawa Anwar dengan beberapa Ahli Parlimen UMNO di Parlimen yang sebenarnya hanyalah kebetulan, pertemuan Rafizi, KJ dan Nurul Izzah adalah sesuatu yang dirancang dan ada temujanjinya.

Pertemuan itu segera digambarkan mereka dikatakan merancang menubuhkan parti mewakili anak muda bagi menghadapi PRU15 akan datang, meskipun mereka barangkali sekadar bertemu biasa, minum-minum dan berbual kosong saja.

Tetapi, begitulah politik adanya…

Semalam, tersebar pula gambar dan video percutian bersama antara Azmin Ali dan Hishammuddin Hussein serta keluarga masing-masing di Maghribi.

Dengan kedudukan mereka yang berbeza parti, tetapi dikatakan sama-sama sedang “dijaga” dan pro kepada Tun Mahathir Mohamad, percutian bersama itu tidak dapat dielakkan menimbulkan macam-macam andaian serta spekulasi.

Sekali lagi, begitulah politik adanya…

Ada yang mengandaikan, Azmin dan Hishammuddin sedang merancang sesuatu dan berdasarkan pergolakan politik semasa, kedua-dua mereka dikatakan tidak mustahil akan menyertai Bersatu selepas ini bagi “mencerahkan” kerjaya politik masing-masing dan sekaligus bertujuan menyingkirkan Anwar sebagai bakal Perdana Menteri ke-8.

Lebih memusykilkan, gambar dan video yang pada mulanya dimuatnaik oleh salah seorang anak Azmin dalam Instagramnya, didapati dipadam tidak berapa lama kemudiannya.

Kenapa dipadamkan?

Jika sekadar percutian keluarga dan tiada maksud yang lain, mengapa perlu dipadamkan?

Apakah ia dipadamkan kerana Azmin dan Hishammuddin tidak menyangka percutian mereka bersama itu akhirnya diketahui oleh rakyat umum serta penyokong masing-masing dan ia telah menimbulkan kekeliruan lain yang tidak dijangka?

Meskipun tidak dinafikan Azmin dan Hishammuddin adalah kawan lama dan tinggal pula berdekatan, tetapi percutian bersama itu sukar dinafikan seolah-olah ia ada sesuatu yang dirancang dan bukan sekadar percutian biasa.

Apakah semua ini ada kaitan dengan keputusan Hishammuddin tidak bertanding sebarang jawatan dalam pemilihan UMNO, Jun lalu dan selari dengan tingkah laku Azmin yang kebelakangan ini semakin berani “melawan” Anwar, “mentornya” sendiri?

Tetapi, bukankah Tun Mahathir sekali lagi sudah mengulangi janjinya akan tetap menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar dan sebarang perancangan atau komplot lain tidak mempunyai makna lagi?

Hmmmmmm…….(ShahbudinHusin 31/12/2018)

– http://shahbudindotcom.blogspot.com

.