YANG KALAH BOLOT HAMPIR SEMUA – ORANG KUAT AZMIN

Pertelingkahan dan perang mulut secara terbuka antara dua kem dalam PKR tidak menunjukkan tanda akan berakhir.

Terbaru penasihat Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Khalid Jaafar mempertahankan kritikan Azmin Ali terhadap pelantikan jawatan utama PKR yang disifatkan tidak mencerminkan prinsip “perwakilan yang adil dan saksama”.

“Azmin Ali adalah seorang organisational man maka kenyataannya tidak boleh dilihat sebagai bersifat peribadi.

“Beliau (Azmin) mengemukakan prinsip ‘Fair and just representation” dalam memilih jawatan lantikan.

“Prinsip ini sudah tentu amat penting bagi sebuah parti yang namanya pun Keadilan (PKR),” kata Khalid dalam catatan di Facebooknya.

Untuk rekod, Khalid pernah menjadi setiausaha politik kepada Anwar Ibrahim sebelum presiden PKR itu dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri pada 1998.

Kelmarin, Azmin yang juga timbalan Presiden PKR menggesa Anwar menilai semula pelantikan jawatan utama kepimpinan parti yang diumumkan sehari sebelum itu.

Azmin berkata pelantikan itu tidak mencerminkan prinsip “perwakilan yang adil dan saksama” terhadap aspirasi anggota parti.

Antaranya Rafizi Ramli – yang tewas dalam pemilihan lalu – dilantik sebagai naib presiden dan Saifuddin Nasution Ismail dipilih semula sebagai setiausaha agung.

Bagaimanapun Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail mempertahankan pelantikan tersebut dan menegaskan ia hak istimewa Anwar untuk berbuat demikian.

Malah kata Wan Azizah, Rafizi juga menerima banyak undi pada proses pemilihan PKR 2018 baru-baru ini.

Anwar pula berkata beliau memutuskan untuk mengambil pendekatan inklusif.

“Saya mahu jadi inklusif, dia (Azmin) tak mahu sesetengah individu.

“Saya mahu semua dalam (kepimpinan)…itu perbezaannya,” kata Anwar.

Menurut Khalid, meskipun lantikan jawatan adalah kuasa presiden tetapi jika prinsip keadilan diabaikan ia akan dilihat menyerupai bidalan Melayu “bersultan di mata dan beraja di hati”.

“Azmin adalah seorang mathematician (ahli matematik). Prinsip “fair and just representation” dalam lantikan boleh difahami mathematically (secara matematik).

“Sebagai ketua pasukan yang menang 70 peratus Azmin dan pasukannya berhak mendapat 70 peratus jawatan lantikan.

“Winner cannot take all. Betullah tu. Tetapi masalahnya sekarang loser takes almost all,” katanya yang lebih dikenali dengan gelaran Pak Khalid di kalangan anggota PKR.

– M’kini

.