JAWATAN PM: SAYA TETAP AKAN TUNAI JANJI, KATA DR M

PUTRAJAYA – Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad
berkata beliau tetap akan menyerahkan jawatannya sebagai perdana menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang dijanjikan sebelum ini.

“Macam-macam orang ada pendapat, mereka ada pendapat masing-masing. Itu pendapat mereka tapi kena pegang kepada janji,” katanya kepada pemberita di Perhimpunan Agung Tahunan PPBM di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas usul daripada perwakilan Kelantan, Zulkifli Zakaria ketika sesi perbahasan ucapan dasar presiden pagi tadi yang mencadangkan supaya jawatan perdana menteri yang dijawatnya kini dikekalkan sehingga pilihan raya umum ke-15.

Dr Mahathir dijangka mengulas usul tersebut dalam ucapan penggulungan beliau petang nanti.

November lalu Dr Mahathir berjanji bahawa jawatan perdana menteri yang disandangnya akan diserahkan kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas tempoh 2 tahun.

Sebelum itu beliau setuju menjadi perdana menteri kerana Anwar berada dalam penjara apabila kerajaan baru mengambil alih pentadbiran berikutan kemenangan Pakatan Harapan(PH) dalam pilihan raya umum 9 Mei.

“Saya berjanji tidak akan kekal lama sebagai perdana menteri. Mungkin 2 tahun, mungkin lebih, mungkin kurang,” katany

Sementara itu Naib Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menganggap usul yang dikemukakan perwakilan Kelantan itu satu cadangan yang baik.

Beliau berkata Dr Mahathir perlu diberi ruang bagi memulihkan negara sebelum diserahkan kepada penggantinya iaitu Anwar.

“Setakat apa yang saya tahu ia tidak kontradik kerana kita masih merancang untuk Datuk Seri Anwar menjadi perdana menteri selepas Tun Mahathir sebagai perdana menteri ke-8.

“Isunya adalah waktu. Kita pastikan semua yang kerajaan perlu selesaikan dahulu dan kemudian baru kita rasa selesa dengan situasi itu,” katanya pula.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda PPBM Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, sayap itu akan menghormati serta mengikut setiap keputusan yang akan diambil oleh Dr Mahathir selepas ini.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Muar bagaimanapun berkata, isu atau usul tentang perkara tersebut sepatutnya dibincangkan terlebih dahulu di peringkat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

“Pemuda PPBM akan beri sokongan yang penuh kepada Tun mengikut cita rasa Tun. Kita kena dengar Tun dan kita akan sokong Tun.

“Tapi perkara seperti ini seperti yang saya tekankan berkali-kali, perlu dibincang dalam Majlis Presiden PH, sebab permuafakatan PH itu yang mengikat kita bersama,” katanya.

– FMT

.