TAK PERLU PARTI DOMINAN DALAM PH, SEMUA SETARA, KATA MUKHRIZ

PUTRAJAYA – Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, tiada keperluan bagi Pakatan Harapan (PH) untuk mempunyai satu parti dominan kerana kesamarataan yang ada dalam pakatan itu ternyata berkesan untuk setiap parti menyuarakan pendapat masing-masing.

Kata beliau, ketiadaan satu parti yang terlalu mendominasi dalam pakatan merupakan kelebihan buat PH untuk melaksanakan tugas sebagai kerajaan.

“Amalan konsensus (dalam PH) berjalan dengan begitu baik sekali. Saya dapat lihat tak perlu ada satu parti terlalu dominasi seperti Umno dalam Barisan Nasional (BN) dulu untuk membangkitkan perkara yang dianggap penting,” katanya dalam temu bual di luar Perhimpunan Agung Tahunan PPBM di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini.

Katanya, perkara itu memang merupakan perbezaan paling ketara di antara PH dan BN, iaitu dalam PH semua parti mempunyai hak dan suara yang sama tanpa mengira jumlah kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimiliki.

Katanya, BN didominasi oleh Umno dengan presiden dan timbalan presiden Umno adalah perdana menteri dan timbalan perdana menteri selain kebanyakan menteri adalah daripada parti itu, tetapi PH mementingkan kesamarataan.

“Dalam PH kita mempunyai Tun (Dr Mahathir Mohamad) daripada parti kedua terkecil dalam PH sebagai pengerusi PH dan perdana menteri. Pengaruh yang ada dalam Majlis Presiden PH walaupun berbeza jumlah kerusi, tetapi kita sama rata,” katanya.

Katanya, suara PPBM dan Amanah yang mempunyai bilangan kerusi Parlimen paling sedikit tetap didengari, sama seperti DAP dan PKR yang mempunyai Ahli Parlimen teramai dalam PH.

“Sebagai contoh, (adakah) hanya kerana PPBM ada 16 kerusi Parlimen sahaja, maka isu kepentingan orang Melayu kita segan nak bawa dalam mesyuarat Majlis Presiden PH.

“Perkara itu tidak timbul pun. Walaupun kita sikit tetapi kerana suara kita sama dalam Majlis Presiden kita juga berhak untuk bangkitkan perkara ini,” katanya.

Katanya hubungan antara parti dalam PH sangat kuat walaupun ada pihak-pihak tertentu cuba menimbulkan rasa resah kepada rakyat kononnya PH adalah pakatan yang rapuh dan tidak kuat.

“Silaturahim keempat-empat parti serta (parti sekutu) Warisan (Warisan) pada tahap yang sangat baik,” katanya.

Ditanya mengenai perbalahan yang berlaku di antara pemimpin PH menerusi media sosial, Mukhriz berkata, perkara itu bukan sesuatu yang membimbangkan apabila diambil kira negara dalam suasana politik baru dan penggunaan media sosial yang meluas sekarang.

“Saya tak nampak itu sebagai perkara yang terlalu serius, berbanding dulu yang terlampau terkongkong. Dulu tak boleh cakap isu 1MDB (1Malaysia Development Berhad), isu RM2.6 bilion pun tak boleh cakap. Tapi akhirnya isu ini meletup juga. Perkara terkongkong itu menjadi isu besar bagi seluruh rakyat.

“Sekarang kita lebih terbuka, walaupun ada perbezaan ia dibuat secara terhormat. Saya tidak nampak ini sebagai sesuatu yang boleh melemahkan kerajaan PH.

– FMT

.