LIM KOK WING TUTUP AKAUN TWITTER SELEPAS DIKECAM MARINA MAHATHIR

LIM Kok Wing menutup akaun Twitter miliknya selepas diselar Marina Mahathir kerana tiba-tiba menyokong bapanya selepas suatu masa mengkritik perdana menteri itu ketika berada di pihak pembangkang dahulu.

Carian di Internet gagal menemui akaun Twitter beliau dan dinyatakan halaman itu tidak wujud.

Marina membalas tulisan Lim di Twitter dengan mempersoalkan di mana beliau tahun lepas, sebelum Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya umum 9 Mei.

Beliau menggesa pengasas dan presiden Limkokwing University of Creative Technology itu supaya menghentikan perbuatannya itu.

“Kalau PH tidak menang, adakah anda akan menyelinap ke rumah kami tanpa diundang untuk meminta maaf semasa Raya? Hentikanlah,” tulis anak sulung Dr Mahathir itu.

Lim sebelum itu menulis di Twitter memuji Dr Mahathir dan mencuit akaun Twitter perdana menteri, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Sementara itu, Dr Mahathir semalam mengakui dirinya seorang yang sangat pemaaf dan sudah memaafkan perbuatan Lim.

Bagaimanapun, beliau turut menyindir tindakan Lim dengan berkata ada pihak sanggup berbuat apa sahaja dengan mengambil jalan pintas demi kuasa.

“Kita tahu ada orang guna jalan pintas. Bila orang itu berkuasa, mereka sokong orang itu.  Bila orang itu tak lagi berkuasa, mereka tak sokong lagi. Selepas orang itu kembali berkuasa, mereka kembali sokong,” katanya kepada wartawan selepas bercakap di Perhimpunan Agung Pemuda Bersatu.

Lim merupakan penyokong kuat Dr Mahathir ketika beliau pertama kali jadi perdana menteri daripada 1981 hingga 2002.

Beliau kemudiannya menjadi antara pengkritik paling lantang Dr Mahathir apabila negarawan itu menubuhkan Bersatu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

– https://www.themalaysianinsight.com

.