BERSATU TIDAK AKAN JEJAK KAKI DI SABAH

BERSATU tidak akan masuk ke Sabah, tegas Dr Mahathir Mohamad walaupun ada pihak tertentu menggesanya berbuat demikian, kata yang dekat dengan pemimpin parti itu.

Satu sumber berkata Dr Mahathir tidak mahu Sabah mengulangi senario politik dekad 90-an yang sehingga sekarang menyebabkan ramai penduduknya masih marah dan kecewa.

“Tahun 90-an melihat Umno yang dipimpin Dr Mahathir masuk ke Sabah melalui pembubaran Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno), yang diketuai oleh bekas ketua menteri Mustapha Datu Harun, dan ahlinya menjadi anggota Umno,” katanya.

Kemasukan Umno di Sabah menyaksikan parti itu dengan cepat mengambil alih kuasa negeri, memperkenalkan beberapa dasar tidak popular dan kawalan persekutuan terhadap kerajaan negeri.

Antara dasar ini adalah sistem penggiliran ketua menteri selama dua tahun dan menafikan jawatan penting dalam kerajaan terhadap penduduk Sabah.

Bagaimanapun, beliau berkata parti itu terbuka kepada penduduk Sabah sebagai ahli secara terus dan termasuk mereka yang keluar Umno Sabah.

“Pada masa ini, sudah ada 15,000 penduduk Sabah yang mendaftar sebagai ahli Bersatu.

“Sebahagian besar mereka adalah penduduk Sabah yang tinggal di Sabah dan juga Semenanjung Malaysia,” kata sumber itu.

Beberapa ahli politik Sabah bercakap mengenai pembukaan unit Bersatu negeri dan ini menjadikan parti pemerintah tertinggi kerajaan negeri, Warisan kurang senang.

Ia susulan penghijrahan beramai-ramai pemimpin Umno Sabah yang diketuai bekas ketua perhubungan Hajiji Mohd Noor pada 12 Disember lalu.

Lebih separuh daripada ahli Umno Sabah meninggalkan parti itu, dengan menyatakan kehilangan keyakinan terhadap kepimpinan parti.

Ini menyaksikan Umno kehilangan lima ahli Parlimen dari Sabah, sembilan Adun, dua senator, 21 daripada 25 ketua bahagian, serta 50% daripada lebih 500,000 anggota parti.

Laporan menyatakan mereka yang keluar daripada Umno Sabah kini cuba menubuhkan sebuah cawangan Bersatu.

Seorang lagi pemimpin yang berminat untuk membawa Bersatu ke Sabah ialah Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah, Lajim Ukin.

Bekas Adun Klias diberitakan cuba untuk membawa masuk Bersatu ke Sabah beberapa kali.

Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad tidak mahu senario politik 90-an di Sabah kembali berulang, yang menyebabkan ramai penduduknya masih marah dan kecewa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Disember, 2018.
Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad tidak mahu senario politik 90-an di Sabah kembali berulang, yang menyebabkan ramai penduduknya masih marah dan kecewa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Disember, 2018.

Pertama, beliau dilihat menghadiri sambutan ulang tahun Bersatu dan bertemu Dr Mahathir serta berkata akan menghantar delegasi sebagai pemerhati pada perhimpunan agung tahunan Bersatu, yang bermula hari ini.

Lajim juga berkata tidak ada yang salah sekiranya Bersatu melebarkan sayapnya ke Sabah.

Tetapi beberapa pengkritik politik Sabah tidak bersetuju dan melihat tindakannya itu sebagai membenarkan kedatangan kedua Umno Sabah ke negeri ini.

“Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) jelas memberi mesej bahawa rakyat Sabah mahu mengakhiri pemerintahan Umno di Sabah, tetapi apa yang Lajim dan beberapa pemimpin lain lakukan adalah jelas.

“Mereka mahu Sabah kekal di bawah pimpinan parti dari Semenanjung,” kata pemerhati politik yang mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin politik negeri.

Sementara itu, sumber Bersatu menyatakan jika parti menerima pembelot Umno Sabah, ia hanya akan berdasarkan keahlian secara terus.

Ini bermakna mereka hanya boleh bertanding untuk jawatan parti tetapi bukan dalam pilihan raya umum.

“Mereka tidak dibenarkan bertanding dalam pilihan raya umum dan jika tetap berkeras, mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada Warisan.

“Ini bermakna mereka akan bertanding dengan tiket Warisan, atau mungkin PKR atau Amanah pada PRU15,” katanya.

Satu lagi cara bagi mereka untuk menjadi calon adalah dengan pindaan perlembagaan Bersatu, tetapi parti itu belum mencapai tahap itu lagi, kata sumber berkenaan.

“Pada satu ketika, mesyuarat anggota Majlis Tertinggi Bersatu mungkin dibuat untuk mengundi sama ada untuk membuka cawangan di Sabah atau tidak.

“Pada ketika ini Dr Mahathir mungkin menyatakan tidak setuju untuk menjejakkan kaki di Sabah, jika parti itu meminta undian,” kata sumber itu, sambil menambah Bersatu tidak mahu memungkiri janjinya.

– https://www.themalaysianinsight.com

.