SELEPAS AZMIN, PEMIMPIN PEMUDA, WANITA PULA DESAK ANWAR

PERGOLAKAN dalaman PKR berkaitan pelantikan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dilakukan Presiden Anwar Ibrahim semakin tegang apabila dua lagi pemimpin kanan- kali ini naib ketua Pemuda dan Wanita PKR- memintanya meneliti semua keputusan itu.

Awal hari ini, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali turut menyuarakan desakan sama.

Dalam satu kenyataan bersama, Naib Ketua Pemuda Mohd Nazree Mohd Yunus dan Naib Ketua Wanita Sangeetha Jayakumar berkata pemilihan parti baharu sahaja berakhir dan kepimpinan parti perlu teliti dalam mencipta aspirasi kepimpinan demi masa depan parti.

“PKR memiliki tanggungjawab yang signifikan untuk menerajui Pakatan Harapan. Kita harus insaf dan sedar bahawa suara anggota dan akar umbi PKR adalah keutamaan demi memperkukuhkan parti,” kata mereka.

Kedua-dua mereka juga bersetuju yang kejayaan PH membentuk kerajaan mewujudkan tekanan hebat kepada PKR untuk menjadi sebuah organisasi politik yang “mantap, inklusif dan matang”.

“Justeru, kami berpendirian bahawa pelantikan yang dibuat oleh presiden wajar diteliti semula dan kembali berpandukan asas demokrasi yang telus, adil serta selaras dengan hasrat akar umbi PKR,” kata mereka lagi.

Sebelum ini, Azmin dalam kenyataan terbuka mengecam keputusan Anwar yang disifatkannya tidak menggambarkan hasrat akar umbi dan tidak berdasarkan merit kepimpinan.

“Beberapa individu yang dinamakan juga terlibat secara langsung dalam proses pemilihan yang tidak telus dan menyebabkan punca perpecahan dalam parti,” katanya.

Anwar, bagaimanapun dalam ulasannya terhadap kritikan Azmin berkata beliau mahu melibatkan semua orang selepas pemilihan parti paling sengit sejak ia ditubuhkan ketika era Reformasi 1998.

“Itu pandangan peribadi dia. Saya mahu (lantikan itu) inklusif.

“Dia hendak beberapa orang tidak disenaraikan. Saya mahu semua orang masuk,” katanya kepada The Malaysian Insight, ketika ditemui di Port Dickson, hari ini.

Bekas presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail turut dilaporkan berkata yang pemilihan dilakukan Anwar adalah hak prerogatif presiden.

– https://www.themalaysianinsight.com

.