POPULARITI DR MAHATHIR MASIH SAMA, MENURUT TINJAUAN

PUTRAJAYA, 13 Ogos -- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada Perhimpunan Bulanan Bersama kakitangan Jabatan Perdana Menteri bagi Bulan Ogos di Dataran Putra Perdana, Bangunan Perdana Putra hari ini. --fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA t

TIADA perubahan ketara dalam tahap kepuasan rakyat terhadap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan Pakatan Harapan (PH), menurut tinjauan yang dijalankan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Dapatan tinjauan ini bercanggah dengan dakwaan Rafizi Ramli baru-baru ini iaitu populariti Dr Mahathir menurun dengan mendadak dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Tinjauan yang dijalankan oleh Prof Syed Arabi Idid dan pembantunya, Azrul Hisyam Wakichan dari Unit Kajian Pilihan Raya UIAM pada Disember menunjukkan Dr Mahathir masih disanjung tinggi oleh rakyat.

Bernama melaporkan sebanyak 62% daripada responden berkata mereka berpuas hati dengan prestasi perdana menteri pada Ogos dan Disember.

Ini adalah kesinambungan tinjauan pertama pada Ogos ke atas isu-isu semasa nasional.

Tinjauan pada Disember juga mendapati tahap kepuasan rakyat terhadap pemimpin lain – Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan bekas perdana menteri Najib Razak – naik atau menurun sebanyak 1% atau kekal sama berbanding hasil tinjauan pada Ogos.

Pada 19 Disember lalu, Rafizi berkata rating Dr Mahathir turun kepada 53% pada awal bulan ini berbanding 72% pada Jun.

Ini dinafikan oleh Dr Mahathir, malah mengejek ramalan Rafizi mengenai Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu yang jauh tersasar.

Rafizi menerusi Invoke meramalkan PAS kalah teruk tetapi parti Islam itu menang 18 kerusi Parlimen, selain mengekalkan Kelantan dan merampas semula Terengganu.

Tinjauan UIAM itu juga mendapati rating Menteri Kewangan Lim Guan Eng naik kepada 45% berbanding 36% bagi tempoh sama.

Sebanyak 55% daripada responden berkata mereka akan mengundi PH (termasuk Warisan), manakala 24% akan menyokong Barisan Nasional (BN) dan baki 16% lagi menyatakan akan mengundi PAS sekiranya pilihan raya diadakan hari ini.

Dalam tinjaun pertama pada Ogos, 56% responden berkata mereka akan mengundi PH berbanding BN (24%) dan PAS (14%).

Dalam tinjauan pada Disember, masyarakat Cina paling tinggi menyokong PH iaitu sebanyak 73%, diikuti India (56%) dan Melayu serta Bumiputera pada 42%. Hasil tinjauan sama diperolehi pada Ogos.

Tinjauan pada Dismeber dijalankan ke atas 1,469 responden, manakala tinjauan pada Ogos melibatkan 1,500 responden.

– https://www.themalaysianinsight.com

.