PAKAR BERITAHU PUNCA KEMISKINAN BERLARUTAN WALAUPUN DIBANTU KERAJAAN

PETALING JAYA: Kemiskinan masih menjadi masalah besar di negara ini, meskipun statistik kerajaan menunjukkan penurunan sejak Malaysia mencapai kemerdekaan.

Dr Fatimah Kari, pakar ekonomi yang menjalankan banyak kajian mengenai kemiskinan berkata, statistik rasmi hanya nombor yang tidak menggambarkan keadaan sebenar.

Dr Fatimah Kari.

 

 

 

 

 

 

 

Katanya, kaedah lama untuk mengukur kemiskinan dan ketidaksamaan, seperti menilai dari sudut pendapatan per kapita juga tidak berkesan.

“Angka PCI ini bertindak sebagai garis panduan kasar untuk menunjukkan kalau ada pertumbuhan ekonomi dan peningkatan dalam pengeluaran dan eksport.

“Ia pernah menjadi kaedah baik pada suatu ketika dulu, tetapi tidak lagi sekarang,” kata felo kanan di Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas).

“Angka begini perlu didefinasikan semula untuk mencerminkan keadaan sebenar di negara ini,” katanya kepada FMT baru-baru ini.

Beliau berkata, kemiskinan dan ketidaksamaan perlu diukur daripada pelbagai sudut, bukan hanya berkaitan pendapatan.

“Kami mahu kerajaan mengkaji konsep kerentanan dihadapi golongan miskin.

“Pendapatan sebagai ukuran kemiskinan dan ketidaksamaan adalah lemah. Kita mungkin ada angka baik, tetapi ia tidak mencerminkan realiti.”

Kajian terbarunya yang mengukur kemiskinan di luar kerangka pendapatan, menggunakan indeks pelbagai dimensi untuk mengkaji isu di sebalik nombor pada graf.

Kajian berdasarkan tinjauan perbelanjaan isi rumah yang dilaksanakan kerajaan, cuba melihat pelbagai pembolehubah seperti nutrisi, pekerjaan, pendidikan, akses kepada penjagaan kesihatan, kebersihan dan program kerajaan.

Fatimah mengkaji rakyat termiskin dalam kalangan golongan miskin, termasuk nelayan di Bachok, Kelantan, Orang Asli, penduduk miskin di bandar yang tinggal di rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di kawasan seperti Lembah Pantai dan Batu Caves.

Kajiannya turut mengukur ketidaksamaan ekonomi dengan meninjau akses mereka kepada projek dan inisiatif kerajaan.

“Saya tanya mereka sama ada mereka ada maklumat tentang skim serta program kerajaan dan jika maklumat itu dapat diakses di mana sahaja mereka berada. Sebagai contoh, kalau mereka ingin mulakan perniagaan kecil, adakah akses kepada sistem sokongan berkesan yang boleh membantu atau membimbing mereka?”

Beliau juga memberi perhatian sama ada wakil rakyat, pemimpin dan ahli Parlimen ada melawat untuk membincangkan sebarang peluang disediakan oleh program kerajaan.

“Apa saja yang disediakan kerajaan — adakah ia mudah untuk mereka mengaksesnya. Apakah terdapat halangan, birokrasi atau diskriminasi?” katanya.

Program tidak berkesan

Beliau membuat kesimpulan program membasmi kemiskinan yang biasa dilakukan, tidak berkesan untuk mereka yang sangat miskin.

“Perlu ada program lain kerana profil kemiskinan dalam kalangan masyarakat berbeza tidak sama.”

Sebagai contoh, beliau mendapati mereka yang paling tersisih dari segi pekerjaan adalah penduduk miskin di bandar, mungkin disebabkan persaingan sengit dengan warga asing.

“Ada yang tidak betul dengan cara kita membangunkan bandar. Pada mulanya, kita ingat penghijrahan dari luar bandar ke bandar boleh memberi peluang pekerjaan kepada orang miskin, tetapi kini tidak lagi.”

Kumpulan kedua yang tersisih daripada pekerjaan adalah rakyat miskin dari kampung di kawasan pesisiran dan kumpulan ketiga adalah masyarakat Orang Asli.

Fatimah berkata, ini kerana mereka selalunya bekerja sendiri.

Berdasarkan kajiannya, Orang Asli merupakan kumpulan paling tersisih dari segi pendidikan dan pemakanan seimbang.

Katanya, kemiskinan makanan secara perlahan-lahan menjadi masalah kepada rakyat miskin di bandar dan luar bandar.

Beliau memberi amaran ini boleh menimbulkan masalah lain seperti prestasi lemah di sekolah, kadar keciciran tinggi dan terkeluar daripada program pergerakan sosial melalui pendidikan.

– FMT

.