2019 TAHUN EKONOMI LEMBAP, MAJIKAN BEKU AMBIL PEKERJA

KETIDAKTENTUAN selepas perubahan kerajaan 9 Mei lalu serta kelembapan ekonomi global dijangka menyebabkan ramai majikan Malaysia membekukan proses pengambilan pekerja pada 2019.

Fenomena ini dijangka memberi kesan paling buruk kepada sektor perkhidmatan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan.

“Produktiviti banyak sektor tidak meningkat, ada juga penurunan, dan majikan tidak mahu ambil lebih banyak pekerja.

“Banyak dasar masih tidak jelas selepas perubahan kerajaan, dan majikan tidak bersedia untuk ambil pekerja baru kerana akan menanggung kos tambahan, jadi prospek pekerjaan kelihatan suram,” kata Shamsuddin kepada The Malaysian Insight.

Kos sara hidup tinggi, upah rendah, automasi industri dan pembayaran insurans sosial untuk pekerja asing sah antara beberapa sebab mengapa majikan mengelak daripada mengambil pekerja baru.

Sektor perkhidmatan juga dijangka menanggung penurunan antara 7% hingga 8% ketibaan pelancong, berikutan rancangan kerajaan untuk melaksanakan cukai pelepasan tahun hadapan.

“Bukan sahaja industri perkhidmatan, semua sektor mengelak untuk menambah tenaga kerja mereka,” kata Shamsuddin.

Ketidaktentuan dasar kerajaan Pakatan Harapan yang naik kuasa 9 Mei lalu antara faktor utama memberi kesan kepada pasaran buruh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Disember, 2018.
Ketidaktentuan dasar kerajaan Pakatan Harapan yang naik kuasa 9 Mei lalu antara faktor utama memberi kesan kepada pasaran buruh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Disember, 2018.

Beliau berkata kerajaan harus membantu pihak majikan dan pekerja, seperti apa yang dilakukan Singapura ketika rakyatnya secara besar-besaran diberhentikan kerja.

Kerajaan Singapura membantu meningkatkan kemahiran pekerja dan membantu mereka yang diberhentikan mendapat kerja baharu atau memberikan latihan semula.

Presiden Persatuan PKS Malaysia Kang Hua Keong juga berkata pemberhentian pekerja secara besar-besaran di negara ini berlaku disebabkan Malaysia sedang meningkatkan usaha ke arah automatisasi yang lebih menyeluruh.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight bahawa semakin banyak pekerjaan boleh dilakukan komputer dan mesin, dan memberi gambaran yang di masa depan perniagaan tertentu tidak lagi memerlukan tenaga manusia.

“Industri 4.0 memberi tumpuan kepada pengetahuan, jadi majikan hanya akan mengupah pekerja berkemahiran tinggi. Jika pekerja tempatan dan graduan tidak dapat memenuhi tuntutan pasaran, semakin banyak orang akan menganggur di masa depan,” kata Kang.

Pemberhentian pekerja secara besar-besaran juga dijangka berlaku kerana Malaysia sedang berusaha meningkatkan proses automasi industrinya. – Gambar EPA, 26 Disember, 2018.
Pemberhentian pekerja secara besar-besaran juga dijangka berlaku kerana Malaysia sedang berusaha meningkatkan proses automasi industrinya. – Gambar EPA, 26 Disember, 2018.

Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran mendedahkan lebih 21,000 pekerja diberhentikan tahun ini, 1 daripada 4 orang mereka adalah pemegang diploma atau ijazah. Pekerja ini adalah pengurus kanan yang dibayar tinggi, selain pekerja mahir dan pakar.

MEF sebelum ini meramalkan sekurang-kurangnya 50,000 orang akan kehilangan pekerjaan disebabkan dasar kerajaan sebelum ini, dan Shamsuddin berkata bilangan orang yang mencari pekerjaan akan terus meningkat namun jumlah pekerjaan yang dapat disediakan tetap tidak berubah.

MEF mewakili pemilik perniagaan dan syarikat daripada 22 sektor, termasuk sektor perlombongan, perbankan dan perhotelan.

Sektor tersebut dianggarkan membentuk 6.4 juta pekerja, atau satu pertiga daripada keseluruhan tenaga kerja di Malaysia.

– https://www.themalaysianinsight.com

.