PERBALAHAN PAKATAN PERKARA BIASA, KATA PENGANALISIS

PERBALAHAN terbuka antara beberapa pemimpin Pakatan Harapan adalah simptom gabungan parti pemerintah itu masih belum berpadu sepenuhnya dan tercari-cari titik persamaan, kata penganalisis.

Pemimpin PH menyerang satu sama lain secara terbuka sejak minggu lepas, selepas Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendesak pemecatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy yang didakwanya bertanggungjawab mencetuskan api perkauman pada rusuhan kuil Seafield.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy mengecam menteri belia dan sukan itu, tetapi Syed Saddiq enggan mengalah kerana menyuarakan pandangannya.

Setiausaha Publisiti Pemuda DAP Sarawak Abdul Aziz Isa turut masuk campur, menggelarkan Syed Saddiq seorang “opurtunis” yang bertindak hanya untuk “meraih sokongan dan disukai anggotanya (Pemuda Bersatu).”

Penganalisis politik dan ekonomi Dr Hoo Ke Ping berkata pergaduhan “memang dijangka” dalam pakatan yang tidak berpengalaman mentadbir sebagai satu entiti.

“Antara parti, inilah kali pertama mereka membentuk kerajaan. Kebanyakan mereka tidak berpengalaman, termasuklah (Timbalan Perdana Menteri) Dr Wan Azizah Wan Ismail. Anwar Ibrahim pula sudah hampir 20 tahun tidak berada dalam kerajaan, Lim Kit Siang juga tak pernah berada dalam kerajaan,” katanya.

“Jadi mereka kurang kesatuan berbanding BN yang ada pengalaman 60 tahun. Mereka (PH) kurang kesatuan dan ia normal,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq jadi tumpuan selepas dikecam ramai pemimpin Pakatan Harapan selepas beliau mendesak Menteri P Waytha Moorthy meletak jawatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Disember, 2018.
Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq jadi tumpuan selepas dikecam ramai pemimpin Pakatan Harapan selepas beliau mendesak Menteri P Waytha Moorthy meletak jawatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Disember, 2018.

Hoo berkata walaupun tempoh lima bulan adalah terlalu singkat untuk mengharapkan semua menteri PH terbiasa dengan tanggungjawab mereka, gabungan pemerintah perlu pantas mengatasi isu bercanggah sesama mereka.

Beberapa pemimpin lama PH, termasuklah Lim dan Anwar sudah menggesa pemimpin kerajaan berhenti bertelingkah sesama sendiri sebaliknya memberi tumpuan untuk pembangunan negara.

Penganalisis politik, Profesor Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya pula berkata PH hanya menguji kesabaran rakyat dengan perbalahan mereka terutama sekali apabila mereka dilihat gagal memenuhi janji pilihan raya termasuklah menurunkan kos sara hidup.

“Jika perkara ini berterusan dan PH lebih banyak beri tumpuan kepada masalah ini berbanding tadbir urus sebenar, PH tidak akan jadi kerajaan yang kuat, tidak beri tumpuan kepada hala tuju sebenar dan akan menyebabkan populariti dan keyakinan rakyat kepadanya turun,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Perpecahan dalam Umno dianggap jadi penyelamat kepada Pakatan Harapan yang masih belum berpadu sepenuhnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Disember, 2018.
Perpecahan dalam Umno dianggap jadi penyelamat kepada Pakatan Harapan yang masih belum berpadu sepenuhnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Disember, 2018.

Katanya, setakat ini PH “diselamatkan” daripada dihukum rakyat kerana pembangkang, terutamanya Umno, sendiri bergolak.

Jelasnya, PH tidak menerima tekanan untuk mentadbir dengan baik kerana Umno sedang berpecah dan PAS pula tidak menarik minat kumpulan menengah rakyat Malaysia.

“Kerana itulah negara kita perlukan pembangkang yang kuat untuk semak dan imbang.

“Bagaimanapun, perkara ini tidak berlaku kerana pemimpin Umno sendiri tidak yakin boleh jadi pembangkang kuat malah ada sebilangan mereka berpaling tadah untuk manfaat sendiri,” tambahnya.

Selepas pilihan raya bersejarah 9 Mei lalu, lebih 20 wakil rakyat Umno keluar parti, sama ada menyertai Bersatu atau menyatakan kesetiaan kepada kerajaan PH yang dahulu musuh ketat mereka.

– https://www.themalaysianinsight.com

.