UMNO BAHTERA BOCOR, PAYAH BERGABUNG DENGAN PARTI BOCOR, KATA HADI

PAS tidak akan bergabung dengan Umno kerana parti bekas kerajaan itu ibaratnya bahtera yang sudah bocor, yang boleh merosakkan parti Islam itu sekiranya mereka bersama, kata Presiden Abdul Hadi Awang.

“Umno sekarang mengalami kebocoran bahtera. Kaedah kita orang pergi laut, kalau bahtera bocor kita pergi dekat, bahtera kita pun boleh tenggelam sama.

“Nak gabung dengan parti bocor ini satu benda yang sulit dan payah,” kata Hadi, seperti dipetik Harakahdaily.

Ahli Parlimen Marang itu dilaporkan berkata demikian dalam satu program bersama rakyat Malaysia di Dublin, Ireland, kelmarin.

Hadi mengakui Umno tidak akan berkubur namun PAS “sedia memungut mereka yang lari dari kapal lama” untuk bersama parti Islam itu, katanya.

Jelas beliau, PAS tidak akan bekerjasama dengan Umno kerana pegangan dasar dua parti Melayu Islam itu tidak sama iaitu PAS mahu Islam memerintah, bukan diperintah.

“Ini masih tak ada titik pertemuan hingga hari ini,” katanya, sambil mengulangi kesediaan PAS bekerjasama dengan mana-mana parti “dalam perkara yang baik.”

Hubungan dua parti Melayu Islam itu jadi perhatian selepas Umno yang menerajui Barisan Nasioanal (BN) kalah dalam pilihan raya umum bersejarah 9 Mei lalu.

Umno kini hanya memerintah di dua negeri iaitu Perlis dan Pahang.

PAS pula memperbaiki prestasinya apabila mengukuhkan kedudukan di Kelantan, merampas semula Terengganu serta mula menerobos ke kawasan luar bandar yang dahulunya dikuasai Umno.

Umno dan PAS bergabung suara menentang hasrat kerajaan meratifikasi ICERD sehingga membawa kepada perhimpunan besar di Kuala Lumpur 8 Disember lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Disember, 2018.
Umno dan PAS bergabung suara menentang hasrat kerajaan meratifikasi ICERD sehingga membawa kepada perhimpunan besar di Kuala Lumpur 8 Disember lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Disember, 2018.

Kedua-dua parti itu bekerjasama dalam tiga pilihan raya kecil yang diadakan baru-baru ini iaitu di DUN Sungai Kandis dan Seri Setia serta di Parlimen Port Dickson.

PAS dan Umno kemudian bergabung suara melawan cadangan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), sehingga membawa kepada perhimpunan besar di Kuala Lumpur pada 8 Disember lalu.

Namun pemimpin kedua-dua parti dalam beberapa kenyataan jelas membayangkan PAS dan Umno hanya bekerjasama setakat itu dan tidak akan bergabung.

Menurut Hadi, PAS mendukung mana-mana gabungan yang mengutamakan orang Islam dalam pemerintahan negara kerana Malaysia sebuah negara penduduknya 65 beragama Islam.

Katanya, tidak wajar negara majoriti orang Islam pemerintahannya dikuasai bukan Islam kerana ia boleh menyebabkan pertembungan.

“Islam adalah syarat kaum yang mendominasi, ini sangat penting. Kerana pemimpin dipatuhi, mesti didukung oleh kaum yang paling kuat dalam kalangan orang Islam,” katanya.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.