SETIAUSAHA AGUNG BERSATU NAFI ADA GERAKAN SINGKIR DR MAHATHIR

SETIAUSAHA agung Bersatu menepis cakap-cakap bahawa ada gerakan untuk menyingkir Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Marzuki Yahya berkata perkara itu tidak sepatutnya timbul kerana Dr Mahathir adalah ketua sebuah kerajaan yang dipilih menerusi konsensus parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH).

Semalam, Penyelaras Amanah Parlimen Jasin Khairuddin Abu Hasan mendakwa terdapat komplot oleh beberapa ahli Pakatan Harapan yang gagal mendapatkan kedudukan dalam kerajaan untuk menggulingkan Dr Mahathir.

“Itu pandangan beliau … macam mana nak singkir (ketua yang dipilih) sedangkan rakyat sudah memilih (Dr Mahathir)?

“Kalau nak komen sesuatu, kita mesti dulu hormat rakyat yang telah beri kita mandat dan sokongan pada PH.

“Rakyat telah meletakkan harapan yang tinggi pada PH, terutamanya Dr Mahathir, pulihkan negara. Jadi, sepatutnya tidak timbul (cakap-cakap) guling beliau,” Marzuki dipetik berkata pada sidang akhbar di Universiti Utara Malaysia di Kedah hari ini.

Menurut beliau, pemimpin-pemimpin PH sekarang ini akan akan memastikan tiada kenyataan yang boleh mencetus kekeliruan atau menunjukkan terdapat perselisihan antara parti komponen dikeluarkan di masa akan datang.

“Daripada bertikai secara terbuka, sebarang perbezaan pendapat perlu dibawa berbincang, kalau tidak rakyat akan muak. Tak perlu keluarkan kenyataan yang mengelirukan,” beliau dipetik berkata.

Semalam, Presiden PKR Anwar Ibrahim menggesa pemimpin PH menghentikan segera pertelingkahan semasa sendiri.

Anwar berkata segala tindak-tanduk pemimpin kini menjadi perhatian umum dan sebarang perbalahan boleh menutup peluang Pakatan untuk membuktikan kemampuan mereka membela nasib rakyat.

Malah tegas beliau, pemimpin PH perlu memberikan tumpuan khusus ke arah menjana pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan keselesaan rakyat.

“Rakyat sentiasa memerhati kita, dan kita punyai ruang dan peluang yang sedikit sahaja untuk membuktikan Pakatan Harapan benar-benar mampu merubah nasib rakyat dan negara.

“Perbalahan terbuka sama ada di antara atau di dalam parti perlu dihentikan segera.

“Pada masa yang sama, saya gesa agar muafakat Pakatan Harapan diperkukuh melalui saluran parti,” katanya menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya semalam.

– https://www.themalaysianinsight.com

.