MP BATU SIFATKAN ROZAN ‘TAK BOLEH DITEGUR’

Anggota Parlimen Batu P Prabakaran dilihat tidak bersefahaman dengan Rozan Azen Mat Rasip yang merupakan pembantu bekas anggota parlimen Batu, Tian Chua.

Semalam, Rozan mengumumkan meletakkan jawatan sebagai setiausaha Prabakaran atas alasan “tiada sefahaman dan campur tangan pihak ketiga”.

Bagaimanapun, dalam kenyataannya hari ini, Prabakaran mendakwa dia tidak pernah melantik Rozan sebagai setiausahanya, selain menyifatkan Rozan sebagai “tidak boleh ditegur”.

“Untuk makluman saudara, saya tidak pernah melantik saudara sebagai setiausaha saya. Tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada saudara adalah sebagai seorang penyelaras aduan bagi pejabat parlimen batu,” katanya melalui surat yang ditujukan kepada Rozan.

Surat itu sudah tersebar di media sosial.

Prabakaran juga menyifatkan kenyataan Rozan ketika meletakkan jawatan sebagai “tidak tepat dan tidak benar sama sekali”.

“Saudara seharusnya melihat pada sikap saudara sendiri yang tidak boleh ditegur dan tidak menghormati sesama rakan setugas.

“Ini menyebabkan saudara gagal dan sukar mendapat kerjasama serta persefahaman dalam melaksanakan tugas harian saudara,” katanya.

Selain mengucapkan terima kasih pada khidmat Rozan, Prabakaran turut mengingatkan pesanan Presiden PKR anggota parti mereka tidak berbalah atau mengeluarkan kenyataan negatif.

Tian Chua menjadi anggota parlimen Batu sejak 2008 hingga 2018.

Pada pilihan raya umum (PRU) yang lalu, Tian Chua hilang kelayakan susulan pensabitan kes mahkamah atas kesalahan ingkar arahan polis.

Tian Chua yang merupakan calon asal PKR kemudian menyatakan sokongan dan membantu kempen Prabakaran yang ketika itu merupakan calon bebas.

Susulan itu, pada 9 Mei lalu, Prabakaran menang dengan majoriti besar di kerusi berkenaan.

– M’kini

.