‘SEKOLAH BRUNEI HABIS LEBIH BANYAK MASA BELAJAR SAINS BERBANDING SUBJEK AGAMA’

PETALING JAYA: Sebuah badan bukan kerajaan pendidikan bersetuju dengan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendapati terlalu banyak penekanan terhadap pendidikan agama di sekolah kebangsaan.

Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) berkata, Brunei yang merupakan negara dengan simbolisme Islam kuat, memperuntukkan lebih banyak masa di sekolah bagi subjek Sains berbanding agama.

Setiausaha Kehormat PAGE, Tunku Munawirah Putra berkata subjek Pengajian Islam hanya terdiri daripada 4% hingga 9% di Brunei, manakala di Malaysia antara 9% dan 15%.

Katanya, Pengajian Islam merangkumi 7% daripada kurikulum sekolah rendah di Brunei, 9% di peringkat menengah rendah dan 4% di peringkat menengah atas.

“Mereka menghabiskan lebih banyak masa mempelajari Sains berbanding Pengajian Islam di setiap peringkat kerana Sains ialah subjek teras dan Pengajian Islam adalah wajib,” katanya kepada FMT.

Jumaat lalu, Dr Mahathir dilaporkan berkata, kerajaan akan mengkaji semula kurikulum sekolah kebangsaan yang kini bertukar seperti sekolah agama dengan prestasi pelajar lemah dalam subjek yang mungkin berguna bagi mereka dalam mencari pekerjaan kelak.

“Semua belajar tentang Islam dan tidak ada yang lain. Akibatnya, lepasan sekolah kurang mengetahui mata pelajaran yang berguna untuk pekerjaan, tetapi boleh jadi ulama.

“Terlalu ramai ulama hinggakan mereka berkelahi sesama sendiri. Inilah masalah yang kita hadapi sekarang dan sebab itu kita akan ubah kurikulum sekolah,” kata perdana menteri.

Tunku Munawirah berkata, bagi sekolah menengah rendah di Brunei, 13% masa dihabiskan untuk bahasa Inggeris, Melayu, Sains dan Matematik, manakala hanya 9% bagi Pengajian Islam.

Katanya, sekolah menengah rendah Malaysia memperuntukkan 13% bagi bahasa Melayu, 10% masing-masing bagi bahasa Inggeris, Sains dan Matematik, serta 11% bagi pendidikan Islam.

Kurikulum Brunei terbahagi kepada 2 kategori, iaitu subjek teras termasuk Sains dan Matematik yang diajar dalam bahasa Inggeris, serta subjek wajib seperti Pengajian Islam, Seni dan Budaya, Pendidikan Fizikal dan Teknologi.

Tunku Munawirah berkata, Kementerian Pendidikan perlu membahagikan semula masa pembelajaran bagi subjek teras.

“Mungkin jika ibu bapa mahu lebih banyak masa dalam pendidikan agama, ia boleh dilakukan selepas waktu persekolahan dan sekolah boleh menawarkannya sebagai subjek pilihan.”

– FMT

.