SYABAS DAP….

Pengundi-pengundi yang telah bersatu hati membuat keputusan menumbangkan UMNO dan BN pada PRU14 lalu barangkali boleh berasa lega dengan jaminan Lim Kit Siang kali ini.

Dalam penegasannya, supremo DAP itu berkata, partinya tidak akan teragak-agak meninggalkan kerajaan Pakatan Harapan yang mereka anggotai sekarang sekiranya objektif membina Malaysia Baru dipinggirkan.

DAP, tambah beliau, berada dalam kerajaan kerana ingin memainkan peranan membina Malaysia Baru serta menyelamatkan negara daripada menjadi sebuah negara demokrasi palsu, sebuah kakistokrasi, negara gagal dan kleptokrasi dunia.

Syabas DAP!

Tidak banyak parti dalam dunia yang telah berusaha sejak sekian lama untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan, kemudian berjaya mengecapinya, tetapi akhirnya sedia meninggalkan nikmat dunia yang baru dikecapi itu.

“DAP tidak akan menjadi lembik atau dayus seperti MCA,” tegas Lim Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Johor.

Membina Malaysia Baru yang sebahagiannya ialah melakukan reformasi dalam negara dan menolak DNA UMNO/BN yang telah berakar umbi sejak sekian lama adalah impian rakyat negara ini sebaik mereka bersatu hati membuat keputusan memberikan kuasa kepada Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran Malaysia.

Tetapi, selepas tujuh bulan berlalu, adakah impian membina Malaysia Baru ternampak akan menjadi kenyataan atau semakin jauh daripada impian?

Adakah menerima Ahli Parlimen dan bekas pemimpin UMNO ke dalam Pakatan Harapan sesuatu yang diimpikan oleh pengundi yang telah menolak BN pada pilihanraya lalu?

Apakah Ahli Parlimen dan bekas pemimpin UMNO yang beralih arah itu benar-benar menjiwai apa itu refoemasi dan menjiwai semangat Malaysia Baru atau mereka sekadar mencari pelarian untuk menyelamatkan diri dan kedudukan?

Bagaimana dengan lain-lain parti?

Adakah PKR dan Amanah juga sedia meninggalkan kerajaan dan sependirian dengan DAP atau dalam hati mereka mula terasa sayang untuk melepaskan segala nikmat kesenangan yang baru dinikmati?

–¬†http://shahbudindotcom.blogspot.com

.