300 BERARAK TUNTUT BELA KEMATIAN ADIB

Kira-kira 300 penunjuk perasaan hadir menyertai Himpunan Suara Ummah ‘Justice4Adib’ yang diadakan di hadapan Masjid Putra, Putrajaya.

Himpunan yang dianjurkan oleh Gerakan Pembela Ummah (Ummah) itu diadakan bagi menuntut keadilan bagi kematian anggota bomba, Muhammad Adib pada 17 Disember.

Agenda utama himpunan yang bermula tepat jam 2 petang itu adalah bagi menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bagi mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waythamoorthy meletak jawatan.