PAKATAN JANGAN ABAI TANDA AMARAN

KALAU ada pertandingan populariti, Rafizi Ramli tidak akan pernah menang.

Beliau selalu merasakan dirinya mustahak, terlalu bercita-cita tinggi dan lambang sebuah PKR yang kelam-kabut.

Itu sebabnya kenyataan beliau dikecam dan disanggah oleh sebahagian rakyat Malaysia yang percaya kata-kata yang melompat dari mulutnya selalu bersalut muslihat.

Apabila beliau mengatakan tahap penerimaan rakyat terhadap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menjunam 20% selepas pilihan raya 9 Mei yang bersejarah, beliau dikritik hebat.

Ada yang mempertikaikan kaji selidiknya sementara ada juga yang bertanya adakah beliau mengemukakan dapatan kajian untuk mempercepatkan Anwar Ibrahim jadi perdana menteri.

Malang sungguh, kerana kalau itu sanggahannya, kita tersilap kerana mengetepikan maklumat yang penting hanya kerana kita tidak sukakan penyebar maklumat itu.

Hakikatnya sejumlah besar rakyat Malaysia masih merasakan kos sara hidup yang tinggi. Mereka mengundi Pakatan Harapan (PH) dengan harapan hidup mereka bertambah baik apabila Najib Razak dan Barisan Nasional (BN) ditendang keluar dari Putrajaya.

Tujuh bulan berlalu. Peneroka kecil kelapa sawit merasakan peritnya harga yang rendah, begitu juga penoreh getah dan petani.

Kumpulan B40 di bandar juga merasakan sengsara kerana upah yang tidak bertambah dan beban kos yang meningkat.

Walaupun tidak munasabah untuk mengharapkan Dr Mahathir dan pasukannya membetulkan ekonomi yang merosot dan struktur yang nazak dalam beberapa bulan ini, persepsi di lapangan ialah kerajaan baharu ini tidak bersedia.

Pendapat yang paling pahit ialah banyak menteri Kabinet tidak layak memegang jawatan dan nampak tidak faham apa yang berlaku di negara ini.

Ini pandangan yang sama ketika BN berkuasa, dan pandangan yang menyebabkan kerajaan itu tumbang.

Kerajaan PH juga kelihatan sedang runtuh – dan kita perlu menumpukan perhatian pada isu itu.

Malah Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh pun berkongsi pandangan dengan Rafizi, walaupun pemimpin PKR itu memperlekehkan pandangan peguam DAP itu tentang harga telur ayam dan makan tengah harinya dengan Nurul Izzah Anwar dan Khairy Jamaluddin.

Kebimbangannya, selain soal ekonomi, ialah Bersatu cenderung menerima pemimpin Umno yang lompat keluar daripada parti yang ditentang oleh PH dalam pilihan raya 9 Mei lalu.

“Tidak ada bezanya kita dengan Umno kalau kita boleh menimbang menerima pemimpin yang kita singkirkan untuk masuk  Pakatan Harapan, yang semuanya setakat ini dari Umno. Ini sama seperti kita beritahu rakyat: ‘Terima kasih atas undi anda tetapi minta maaf, kami ada pelan sendiri,” tulisnya hari ini.

PH mesti memperbaiki diri. Menang pilihan raya bukan segala-galanya. Yang lebih mustahak ialah menguruskan negara dengan baik dan mengekalkan sokongan rakyat.

– https://www.themalaysianinsight.com

.