ISMAIL SABRI GALAS TUGAS TIMBALAN PRESIDEN UMNO

MESYUARAT Pengurusan Umno semalam memutuskan Ismail Sabri Yaakob mengambil tanggungjawab menjalankan tugas-tugas timbalan presiden susulan keputusan Ahmad Zahid Hamidi berehat.

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa berkata Ismail menjalankan tugas Mohamad Hasan selepas mesyuarat pengurusan turut mengesahkan timbalan presiden itu memangku tugas Zahid.

Annuar berkata mesyuarat pengurusan itu mengambil maklum keputusan Zahid menyerahkan tugas-tugas presiden kepada Mohamad selaku timbalannya.

“Bagi memastikan kelancaran gerak kerja parti, mesyuarat pengurusan Umno bersetuju untuk Mohamad Hasan memangku jawatan presiden sepanjang Zahid bercuti.

“Tugas-tugas timbalan presiden pula akan digalas oleh Ismail Sabri selaku naib presiden paling kanan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Annuar bagaimanapun tidak menyebut tempoh berapa lama Zahid bercuti.

Zahid dalam program Wacana U3.0 “Dari Hati ke Hati bersama Presiden Umno” pada Selasa mengumumkan menyerahkan kepada Mohamad untuk menjalankan tugas-tugas sebagai presiden berkuat kuasa serta-merta.

Menjelaskan pengumumannya, Zahid berkata beliau bukan letak jawatan tetapi mahu menyelamatkan Umno agar tidak ada lagi wakil rakyatnya meninggalkan parti.

“Jika benar saya jadi punca utamanya (lompat parti), keputusan saya lakukan adalah saya berikan kepercayaan kepada Mohamad Hasan untuk jalankan tugas presiden,” katanya.

Sehingga minggu lalu, 17 ahli Parlimen Umno sudah keluar parti menjadikan Umno sekarang tinggal 37 wakil di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainuddin yang keluar Umno bersama lima yang lain Jumaat lepas memberi amaran ada 10 lagi wakil rakyat akan keluar parti sekiranya Zahid tidak berundur.

Zahid, yang juga ketua pembangkang di Dewan Rakyat, turut menjelaskan buat masa ini beliau adalah seorang “presiden yang tidak menjalankan tugas presiden”.

Sementara itu, Annuar berkata keutamaan Umno sekarang ialah memperkukuh saf kepimpinan dan memberi tumpuan pada agenda mengukuhkan parti.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.