SKIM POTONG GAJI PTPTN DASAR SYOK SENDIRI WAN SAIFUL?

Mesyuarat kabinet akhirnya memutuskan agar dasar baru pembayaran balik pinjaman PTPTN melalui Potongan Gaji Berjadual atau PGB sebagaimana diumumkan baru-baru ini dan dijadual akan dilaksanakan pada Januari 2019, digantung atau ditangguhkan.

Keputusan itu diumumkan oleh Menteri Pendidikan, Mazlee Malik selaku pihak yang bertanggungjawab terhadap PTPTN.

Kata beliau, penangguhan buat sementara waktu itu bagi membolehkan PTPTN menerima input dan maklum balas secara kolektif daripada semua pihak yang berkepentingan.

Buat sementara waktu juga, penangguhan ini tentunya melegakan golongan peminjam PTPTN yang bakal terbeban dengan dasar baru PGB itu.

Tetapi, apakah yang kita boleh fahami daripada kenyataan Mazlee berkenaan penangguhan tersebut?

Adakah ini bermakna pengenalan dasar baru PGB dengan kadar potongan gaji antara 2% hingga 15% sebagaimana diumumkan dan mahu dilaksanakan PTPTN itu dibuat tanpa sebarang kajian dan tidak mengambil kira input daripada mana-mana pihak?

Mengapa setelah begitu banyak bantahan baru mahu mendapatkan input dan maklum balas daripada pihak yang berkepentingan dengan pinjaman PTPTN?

Kenapa tidak cuba diperolehi input dan maklum balas sebelum daripada itu?

Adakah ia bermakna pengenalan skim potongan gaji dengan kadar sehingga 15%  itu hanya merupakan dasar syok sendiri daripada idea seorang diri Wan Saiful Wan Jan selaku Pengerusi PTPTN saja?

-http://shahbudindotcom.blogspot.com/

.