GERAKAN BAJU MERAH BUAT KEMUNCULAN SEMULA DI HIMPUNAN ICERD

Gerakan Baju Merah yang menyepikan diri sejak PRU ke-14 akhirnya membuat kemunculan semula dan pentas yang dipilih – himpunan bantahan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Kuala Lumpur esok.

Pengerusinya Jamal Md Yunos berikrar mereka akan tampil berbeza dan menjangka sejumlah 35,000 anggotanya akan menyertai himpunan itu.

“Ini adalah perhimpunan aman dan yang paling menariknya perhimpunan kali ini telah pun mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa.

“Buat apa kita hendak mengadakan protes demostrasi, sebaliknya solidariti perhimpunan ummah untuk mempertahankan Perlembagaan itu sendiri,” kata Jamal seperti dipetikĀ Sinar Harian, hari ini.

Jamal yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar berkata, beliau difahamkan seramai 1,500 anak muda daripada kawasannya akan menyertai konvoi motosikal ke himpunan esok.

Katanya, selama 61 tahun BN telah membawa rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama untuk hidup dalam suasana aman dan harmoni.

“Semua kaum bebas mencari rezeki di negara ini tanpa sebarang halangan, tetapi mengapa hanya beberapa bulan setelah tumbangnya BN isu ini ada?” soalnya.

mkini

.