GELARAN ‘MELAYU MALAS’ TAK LAGI RELEVAN, KATA AHLI AKADEMIK

GESAAN Dr Mahathir Mohamad supaya rakyat meninggalkan sikap malas bekerja dan mengharapkan subsidi menerima kritikan kumpulan ahli akademik dalam satu forum hari ini.

Kumpulan ahli akademik itu antara lain berpendapat, perdana menteri itu masih terperangkap dalam pemikiran dan ideologi kolonial kerana sanggup melabelkan Melayu sebagai bangsa pemalas

Ahli akademik berkenaan juga berkata kenyataan yang diulang Dr Mahathir sejak sejak tahun 1970 itu tidak lagi relevan pada zaman ini kerana membawa banyak implikasi negatif.

Seorang daripadanya, timbalan pengerusi Majlis Profesor Negara Shamsul Amri Baharuddin berkata, pendirian Dr Mahathir itu malah lebih luas kerana melibatkan rakyat Malaysia.

Timbalan Presiden Majlis Profesor Negara, Kamaruddin M Said berkata Dr Mahathir tidak wajar melabelkan semua orang Melayu itu malas. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 7 Disember, 2018
Timbalan Presiden Majlis Profesor Negara, Kamaruddin M Said berkata Dr Mahathir tidak wajar melabelkan semua orang Melayu itu malas. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 7 Disember, 2018

Beliau berkata demikian dalam sidang media wacana membicarakan buku Mitos Peribumi Malas karya Syed Hussein Altas hari ini di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Dalam sidang media sama, pensyarah Universiti Utara Malaysia Mohd Hazim Shah Abdul Murad pula berkata, Dr Mahathir mungkin mempunyai niat yang baik dalam membangkitkan isu tersebut.

Beliau berpandangan, kenyataan Dr Mahathir itu untuk membangkitkan semangat orang Melayu dengan menggunakan pendekatan psikologi.

Bagaimanapun kata Hazim, pendekatan yang digunakan akan menyebabkan stigma “malas” terhadap orang Melayu kekal sehingga kaum itu terkesan dari segi pelbagai bidang.

“Mungkin tujuan untuk mencabar orang Melayu supaya memperbetulkan kesilapan mereka sendiri.

“Tetapi kesan yang sebenarnya adalah daripada kenyataan sedemikian itu yang harus difikirkan. Tujuannya mungkin elok tapi kesannya mungkin tidak sebegitu,” katanya.

Beliau merujuk kenyataan Dr Mahathir – terbaru berhubung amaran perdana menteri itu bahawa negara yang lebih mundur akan mengatasi Malaysia kerana rakyat Malaysia malas dan mengharapkan bantuan.

Setiausaha Majlis Perundingan Melayu (MPM) Hasan Mad berkata label sebegitu mendatangkan kerugian kepada orang Melayu.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 7 Disember, 2018
Setiausaha Majlis Perundingan Melayu (MPM) Hasan Mad berkata label sebegitu mendatangkan kerugian kepada orang Melayu.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 7 Disember, 2018

Dalam kenyataan di Langkawi, perdana menteri berkata rakyat kini bergantung kepada bantuan wang tunai seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia yang disalurkan pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini.

Kenyataan sama ditimbulkan Dr Mahathir pada Ogos apabila mengumumkan untuk mengurangkan bantuan berkenaan, yang kini dipanggil Bantuan Sara Hidup, sebelum dimansuhkan.

Mengulas kenyataan itu, Setiausaha Majlis Perundingan Melayu (MPM) Hasan Mad dalam sidang media sama hari ini berkata ia label sebegitu mendatangkan kerugian kepada orang Melayu.

Kataya, pihak lain akan mengambil kesempatan untuk tidak bekerjasama dengan orang Melayu terutamanya dari segi ekonomi dan peluang pekerjaan.

Walhal, kaum Melayu ketika ini sudah berdepan dengan kesukaran untuk mendapatkan peluang ekonomi yang didominasi oleh pihak lain, katanya dalam sidang media sama hari ini.

“Oleh kerana dari segi peluang pekerjaan, Melayu banyak bergantung kepada peluang luar sebab mereka menguasai ekonomi. Dalam keadaan sebelum kenyataan itu keluarpun, Melayu sudah berdepan situasi begini.

“Mereka telah sedar situasi tidak memihak kepada Melayu dengan adanya kenyataan begitu, itu mengesahkan persepsi orang luar mengapa tidak mahu menggaji orang Melayu,” katanya.

Seterusnya, Timbalan Presiden Majlis Profesor Negara, Kamaruddin M Said berkata Dr Mahathir tidak wajar melabelkan semua orang Melayu itu malas kerana banyak kejayaan yang telah dibawa oleh golongan itu.

Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara Shamsul Amri Baharuddin berkata, pendirian Dr Mahathir itu malah lebih luas kerana melibatkan rakyat Malaysia.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 7 Disember, 2018
Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara Shamsul Amri Baharuddin berkata, pendirian Dr Mahathir itu malah lebih luas kerana melibatkan rakyat Malaysia.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 7 Disember, 2018

“Kita jangan terperangkap dengan stereotaip sebab ia tidak saintifik, ia tidak terlalu umum, tapi kalau minda kita telah cenderung kearah itu, kita tahu siapa yang malas, dan aktif.

“Kita jangan lupa bahawa orang Melayu yang bangunkan 20 universiti awam, menjadikan UiTM sebagai universiti terbesar di dunia dengan pelajar 200,000.

“Itu kejayaan kita, dan Petronas juga dibangunkan oleh orang Melayu, TNB (Tenaga Nasional Berhad), TM (Telekom Malaysia), Pos Malaysia dibangunkan Melayu,” katanya.

Forum hari ini membincangkan buku Syed Hussein mengenai pandangan berat sebelah penjajah tentang masyarakat peribumi Asia.

Buku yang diterbitkan pada 1977 itu menjawab persoalan yang dibangkitkan Dr Mahathir dalam buku The Malay Dilemma.

the malaysian insight

.