SUHAKAM TANGGUH PERHIMPUNAN KE HARI AHAD ATAS SEBAB KESELAMATAN

PERHIMPUNAN anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang dijadualkan esok akan ditangguhkan selepas polis memaklumkan kepada penganjur mengenai “risiko keselamatan yang serius”.

Perhimpunan bersempena Sambutan Hari Hak Asasi Manusia itu dijadualkan diadakan sejam sebelum perhimpunan anti ICERD esok.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Suhakam berkata perhimpunan akan ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memaklumkan kepada Suhakam dan Pejabat Perdana Menteri tanpa butiran bahawa terdapat risiko keselamatan yang serius ekoran perhimpunan esok,” menurut kenyataan itu.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dijadualkan berucap dan meramsikan acara itu.

Seorang pegawai berpangkat tinggi di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sebelum ini memberitahu The Malaysian Insight polis sudah mengarahkan Suhakam menangguhkan sambutan Hari Hak Asasi Manusia dengan alasan tidak cukup anggota untuk ditempatkan pada hari itu.

“Ya, kami minta mereka tangguhkan. Keupayaan kami untuk pantau perhimpunan itu terhad,” kata sumber berkenaan.

Pegawai itu tidak mendedahan apakah isu keselamatan yang dimaksudkan.

Festival Suhakam ditunda ke hari Ahad, 9 Disember

SAMBUTAN Hari Hak Asasi Manusia akan diadakan pada hari Ahad di Padang Timur, Petaling Jaya, kata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Pengerusi Suhakam Razali Ismail berkata ia diadakan pada hari tersebut selepas Kabinet memutuskan agar cadangan sambutan pada Sabtu dibatalkan.

“Kabinet bermesyuarat dan memutuskan festival itu tidak akan diteruskan (pada Sabtu). Kami masih kecewa dengan perkembanganini.

“Tetapi kita akan mengadakannya dalam dua hari dan menjemput semua untuk hadir,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat Suhakam di Kuala Lumpur.

Perhimpunan bersempena Sambutan Hari Hak Asasi Manusia itu pada asalnya dijadualkan diadakan sejam sebelum perhimpunan anti ICERD esok.

Antara jemputan yang dijangka hadir ke sambutan itu adalah Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

the malaysian insight

.