JAWATANKUASA KHAS PARLIMEN SIASAT OPS YAMAN 2

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa khas Parlimen untuk Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri akan ditubuhkan bagi menyiasat berkaitan Ops Yaman 2, kata Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong.

Menurut  Chin Tong, siasatan akan menumpukan sama ada atur gerak prosedur operasi standard (SOP) dan aset ke Arab Saudi dalam Ops Yaman 2 mematuhi prosedur dan dalam sistem yang betul.

Siasatan yang akan dijalankan jawatankuasa berkenaan adalah tugasan pertama bagi jawatankuasa itu  dan kementerian akan memberi kerjasama sepenuhnya kepadanya.

“Kami harap jawatankuasa ini boleh membuat siasatan dan beri keyakinan kepada rakyat dan selepas ini membetulkan sistem supaya kita tidak lagi ulangi apa yang telah berlaku pada Ops Yaman.

“Kami  bincang isu Ops Yaman kerana ia tidak betul dan saya tidak mahu panjangkan isu ini, tapi ingin ambil kesempatan untuk baca dua surat supaya gariskan apa yang telah berlaku dan berikan maklumat mencukupi sebelum jawatankuasa khas ini menyiasat isu ini,” katanya pada sesi penggulungan peringkat jawatankuasa Belanjawan 2019 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Chin Tong turut membacakan kandungan dua surat yang masing-masing bertarikh 6 Mei 2015 dan 26 Mei 2015 daripada Bahagian Perancang Dasar dan Strategi Kementerian Pertahanan kepada Markas ATM di Malaysia berhubung penempatan tentera di Arab Saudi itu.

Katanya, kandungan surat berkenaan dapat menggariskan apa yang berlaku dan memberikan maklumat mencukupi sebelum jawatankuasa berkenaan menyiasat isu tersebut.

Tambah beliau, media asing telah menyenaraikan Malaysia sebagai antara sebuah negara yang menyebelahi angkatan ketenteraan yang diketuai oleh operasi mengembalikan kekuatan  Presiden, Abedrabbo Mansour Hadi di Yaman.

“Imej Malaysia di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah terjejas dengan tafsiran masyarakat antarabangsa akibat penempatan anggota dan aset di Riyadh yang dilihat sebagai tindakan melindungi kepentingan kerajaan Arab Saudi dalam operasi ketenteraan di Yaman.

“Saya juga ingin tegaskan bahawa jawatankuasa evakuasi rakyat Malaysia dari Yaman yang  dipengerusikan oleh Kementerian Luar dengan disertai pelbagai agensi seperti MKN dan Mindef (Kementerian Pertahanan)  tidak pernah membuat sebarang permohonan bagi tujuan atur gerak anggota atau aset ke Arab Saudi.

Chin Tong juga berkata, bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tidak  berada di Dewan Rakyat ketika sesi penggulungannya dibuat.

“Walaupun dia (Hishammuddin) berkata, MKN pernah buat keputusan tapi selepas semakan MKN tidak pernah menghasilkan initiating directive.

“Bila satu operasi perlu dilaksanakan, ia perluarahan pemula daripada MKN atau dalam kes ini ada arahan pemula daripada jemaah panglima-panglima tapi tidak ada sebarang arahan pemula daripada jemaah menteri atau MKN secara bertulis, saya minta kalau mantan menteri pertahanan kalau boleh lebih baik datang ke Parlimen dan bincang isu serius ini dan saya minta jawatankuasa buat siasatan,” katanya.

Sementara itu, Chin Tong dalam kenyataan media, berkata  siasatan yang akan dijalankan Jawatankuasa Pilihan Khas untuk Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri adalah untuk mengenal pasti sama ada atur gerak trup dan aset ATM ke Arab Saudi dalam Ops Yaman 2 mematuhi prosedur kerajaan.

Chin Tong, ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, pula berkata, bekas Hishammuddin  berkemungkinan besar akan dipanggil oleh jawatankuasa khas berkenaan untuk memberi penjelasan.

Justeru, beliau meminta semua pihak memberi peluang kepada jawatankuasa tersebut menilai sama ada Ops Yaman 2 melanggar undang-undang atau tidak.

Dalam pada itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang juga bekas pengerusi MKN, berkata beliau tidak dapat memastikan sama ada Ops Yaman 2 mendapat kelulusan MKN tanpa dibawa ke Kabinet.

“Saya tidak ingat.. Saya tidak begitu pasti,” katanya.

Namun, katanya, sesuatu perkara yang mendesak seperti operasi keselamatan, perkara itu boleh terus di bawa ke MKN tanpa melalui Kabinet.

– Bernama

.