CUTI SEMPENA HIMPUNAN ICERD TAK WAJAR, KATA ANWAR

Tindakan kerajaan Kelantan memberikan cuti peristiwa untuk negeri itu pada 9 Dis ini dianggap tidak wajar oleh Anwar Ibrahim.

Presiden PKR itu berkata hal itu kerana kelulusan untuk cuti tersebut dibuat semata-mata untuk membolehkan penduduk negeri itu menghadiri himpunan di Kuala Lumpur.

“Saya tidak fikir wajar bagi cuti untuk demonstrasi,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Anwar yang juga anggota parlimen Port Dickson berkata demikian sebagai menjawab soalan media mengenai himpunan dijadual pada Sabtu ini di Kuala Lumpur.

PAS sudah mengerah anggota dan penyokongnya untuk menyertai himpunan tersebut, selain mengadakan siri ceramah jelajah bagi mempromosi program menyatakan kesyukuran atas penolakan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).

Bagaimanapun salah seorang naib presiden mereka, Mohd Amar Nik Abdullah mengesahkan tidak akan menyertai himpunan tersebut kerana mengerjakan umrah.

Mohd Amar juga ialah timbalan menteri besar Kelantan.

Sokong pendirian kabinet

Imej yang tular di media sosial pula menunjukkan salah seorang anggota Jawatankuasa Pusat PAS mengadakan kenduri perkahwinan anaknya pada hari berkenaan.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan kesahihan mengenai gambar jemputan kahwin berkenaan daripada anggota parlimen terbabit.

Untuk rekod, Kelantan merupakan salah satu dari empat negeri di Malaysia yang mempunyai cuti hujung minggu pada hari Jumaat dan Sabtu.

Tiga negeri lagi ialah Terengganu, Johor dan Kedah.

Katanya, beliau menyokong pendirian kabinet dalam keputusan pembatalan ratifikasi konvensyen itu.

Bulan lalu sebelum ratifikasi Icerd dibatalkan, Anwar menyatakan kerajaan tidak boleh mengumumkan membatalkan cadangan meratifikasi Icerd kerana Malaysia adalah anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bagaimanapun, katanya, bumiputera terutama orang Melayu tidak perlu bimbang kerana Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan beliau sendiri tidak menunjukkan komitmen untuk meratifikasi Icerd.

mkini

.

LAPORAN KHAS

Penolakan ICERD

Malaysia merupakan salah satu daripada dua negara Islam yang tidak meratifikasi ICERD.