RAFIZI GESA TABUNG HAJI TUBUH PASUKAN BEBAS AUDIT OPERASI

Bekas anggota parlimen Pandan Rafizi Ramli mencadangkan agar pihak pengurusan Tabung Haji menubuhkan pasukan bebas untuk mengaudit operasi pengendalian haji bagi memastikan tidak ada unsur rasuah, penyelewengan, dan komisen.

Selain itu, dalam kenyataan di Facebook, Rafizi berkata ia juga bagi memastikan kos haji yang dikenakan ke atas setiap jemaah haji adalah kos sebenar dan bukan termasuk unsur-unsur keuntungan yang tidak patut dan diwarisi dari pengurusan dahulu.

“Saya suka mengingatkan pengurusan Tabung Haji dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) bahawa tindakan yang bertanggungjawab mestilah melibatkan penelitian ke atas setiap kos yang terbabit di dalam pengendalian operasi haji.

“Apakah tiket penerbangan benar-benar harga yang terbaik? Apakah kos penginapan di Makkah telah dirunding dengan terbaik? Apakah semua kos lain yang ditanggung dan dikenakan ke atas jemaah haji memberi nilai terbaik?” soalnya.

Memetik laporan The Edge, Rafizi juga menyatakan kebimbangan sekiranya pengurusan Tabung Haji mengambil langkah menaikkan harga pakej haji memandangkan keadaan kewangan tabung dana berkenaan dalam keadaan “parah”.

“Sekarang ini, bagi setiap RM1 hutang yang ditanggung Tabung Haji, nilai aset yang ada (dan boleh dilupuskan, jika perlu) untuk membayar hutang-hutang itu hanyalah 80 sen.

“Maksudnya, Tabung Haji tidak berkemampuan untuk membayar hutang-hutangnya sekarang,” katanya.

“Secara undang-undang, Tabung Haji tidak boleh mengisytiharkan dividen. Kesannya besar – yang kurang kaya dan menabung, mereka menunggu lebih lama untuk mencukupkan simpanan untuk ke Makkah, kerana tiada lagi keuntungan atas simpanan mereka.

“Kesan yang lebih besar ialah apabila penabung yang kaya mengeluarkan simpanan mereka kerana mereka tidak mendapat keuntungan dari menabung di Tabung Haji. Ini akan menyebabkan kedudukan kewangan Tabung Haji makin parah, tidak ubah seperti “ibarat sudah jatuh ditimpa tangga”.

“(Selain itu) Tabung Haji terpaksa mencatatkan keuntungan dari operasi yang lebih tinggi untuk menutup penyelewengan di masa lalu. Ada dua cara meningkatkan keuntungan – sama ada memotong kos operasi atau menaikkan harga pakej haji,” katanya.

MKINI

.