KAJI SEMULA POTONGAN GAJI PEMINJAM PTPTN, KATA ANWAR

PELAKSANAAN potongan gaji ke atas peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) perlu diteliti semula, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Katanya, potongan gaji berjadual sehingga 15% itu tidak adil kepada peminjam dan bercanggah dengan kontrak sedia ada.

“Saya akan kemukakan keresahan beberapa peminjam ini untuk pertimbangan kepada menteri pendidikan dan pengerusi PTPTN. Saya akan beri nota segera kepada mereka,” katanya.

Katanya, beliau juga akan meminta menteri terbabit, Maszlee Malik dan Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan mengkaji semula pelaksanaan potongan gaji itu.  

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata beliau turut menerima banyak aduan mengenai langkah potongan gaji berjadual daripada pengundi di kawasannya dan juga dari Parlimen Permatang Pauh.

“Ya, saya dapat (aduan dari pengundi). Semua tekanan itu kami hadapi kerana ia juga melibatkan ahli keluarga mereka,” katanya.

Mekanisme yang diumumkan PTPTN semalam melibatkan potongan wajib sebanyak 2-15% daripada gaji bulanan peminjam, bermula daripada peminjam yang berpendapatan RM2,000.

Jumlah bayaran bagi bergaji RM2,000 sebulan hanyalah RM40, namun peminjam berpendapatan RM8,000 dan ke atas terpaksa menanggung potongan 5% atau RM1,200 setiap bulan.

Langkah berkenaan meraih kritikan meluas oleh pengguna di media sosial yang turut mempersoalkan komitmen Pakatan Harapan ke atas janji dalam manifesto parti itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir berkata, perkara ini perlu diteliti dari sudut perjanjian sebelum ini yang dipersetujui antara PTPTN dan peminjam bagi kadar bayaran balik.

Justeru ketua Pemuda PKR itu mahu PTPTN menangguhkan perlaksanaan potongan gaji berjadual (PGB) memandangkan ia mendapat bantahan peminjam.

“Ini bukanlah kali pertama pengumuman PTPTN yang mengundang kegelisahan seperti penetapan gaji minimum untuk permulaan bayaran balik yang ditetapkan pada RM 1,000, namun kini dipinda ke RM 2,000.

“Saya berharap PTPTN akan menangguhkan pelaksanaan Potongan Gaji Berjadual (PGB) pada kadar peratusan yang diumumkan ini dengan serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan.

– THE MALAYSIAN INSIGHT

.