MUKHRIZ SAHKAN ADUN GUAR CHEMPEDAK MOHON SERTAI BERSATU

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengesahkan menerima permohonan daripada Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Guar Chempedak Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail untuk menyertai parti itu baru-baru ini.

Perkara itu dinyatakan Timbalan Presiden parti Mukhriz Mahathir yang memberitahu bahawa borang permohonan bekas ADUN daripada Umno itu diterima pihaknya minggu lepas.

“Ya, kita (Bersatu) telah menerima permohonan beliau untuk menjadi ahli… sebenarnya perbincangan itu sudah lama tapi borang itu telah diisi dan diserahkan minggu lepas,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan persekolahan pada program Kembali ke Sekolah Peringkat Negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon, di Alor Setar hari ini.

Sekiranya permohonan Ku Abdul Rahman diterima, kerajaan Pakatan Harapan (PH)  Kedah akan mempunyai majoriti mudah  dengan 19 daripada keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri.

– Bernama

.