MAHKAMAH KELUAR WARAN TANGKAP TERHADAP JHO LOW, EMPAT INDIVIDU

KUALA LUMPUR, 4 Dis — Mahkamah Majistret di sini, hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap jutawan kontroversi dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dan empat lagi individu bagi membantu siasatan berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Empat individu itu ialah Tan Kim Loong, 40, Tang Keng Chee, 53, Geh Chong Heng, 47, yang ketiga-tiganya merupakan pegawai 1MDB dan seorang wanita, Loo Ai Swan, 45, bekas peguam 1MDB.

Jho Low dan keempat-empat individu itu dikatakan menghadapi tujuh pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram.

Melalui carian efiling mahkamah, Jho Low dan keempat-empat individu itu sepatutnya didakwa hari ini secara in absentia iaitu tanpa ketidakhadiran tertuduh, di empat Mahkamah Sesyen berasingan.

Seorang polis mahkamah kemudian memaklumkan tiada sebarang prosiding akan dijalankan dan waran tangkap akan dikeluarkan terhadap Jho Low dan kesemua individu itu.

Media sebelum ini melaporkan, Jho Low yang diburu polis dan dikehendaki Malaysia, Singapura dan beberapa negara lain dipercayai bersembunyi di China atau Abu Dhabi namun sehingga kini tidak diketahui di mana sebenarnya dia berada.

Pada 15 Jun lalu Jabatan Imigresen membatalkan pasport ahli perniagaan itu atas permintaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia susulan siasatan skandal 1MDB.

Pada 24 Ogos lalu, Mahkamah Sesyen Putrajaya mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low dan bapanya, Tan Sri Low Hock Peng juga bagi membantu siasatan berhubung skandal 1MDB.

— Bernama

.