NAZRI AZIZ TIDAK SERTAI PROTES DEC 8: ‘KALAU TAK PERCAYA PM, PERCAYA SIAPA LAGI?

SETIAUSAHA Agung Barisan Nasional Mohamed Nazri Aziz tidak nampak apa sebab beliau perlu hadir ke perhimpunan yang diadakan untuk membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Katanya, kerajaan sudah buat keputusan untuk tidak meratifikasi dokumen antarabangsa itu – langkah yang beliau juga setuju.

“Saya rasa saya sudah jelaskan apa yang saya mahu daripada kerajaan. Saya terima, iaitu tidak akan ratifikasi.

“Saya sangat sedar apa yang saya mahu dan saya gembira dengan keputusan (kerajaan) itu. Saya tidak nampak ada keperluan untuk saya hadir pada 8 haribulan ini,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau menekankan pendiriannya tidak akan menyertai perhimpunan yang dijadual diadakan di Dataran Merdeka itu kerana Putrajaya sudah membatalkan cadangan meratifikasinya.

“Kalau kita tidak hendak percaya perdana menteri, kita hendak percaya siapa lagi?

“Saya tak akan hadir. Saya seronok,” katanya.

Pada 24 November lepas, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan kerajaan tidak akan meratifikasi ICERD, sebaliknya akan mempertahankan kontrak sosial yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan itu dibuat sebulat suara oleh menteri yang bermesyuarat, kata Menteri Luar Saifuddin Abdullah.

Keputusan Putrajaya itu menyusul bantahan meluas pelbagai pihak termasuk dua parti utama Melayu, Umno dan PAS yang merancang rapat umum besar di Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Mereka meneruskan perhimpunan 8 Disember itu, kini, dengan alasan untuk merayakan “kejayaan” bantahan terhadap cadangan Putrajaya mahu mengesahkan ICERD.

Semalam, Datuk Bandar Kuala Lumpur Nor Hisham Ahmad Dahlan mengumumkan pihaknya meluluskan penganjuran perhimpunan itu di Jalan Raja antara Dataran Merdeka dan Bangunan Sultan Abdul Samad antara 2 hingga 6 petang.

THE MALAYSIAN INSIGHT

,