PAS SELAR EXCO DAP MAIN SENTIMEN KAUM KEKACAUAN DI KUIL USJ

PAS Selangor menyelar tindakan exco kerajaan Selangor, V Ganabatirau cuba mengaitkan kumpulan Muslim dengan kekacauan di Kuil Sri Mariamman USJ awal pagi tadi.

Setiausaha PAS Selangor, Abdul Halim Omar berkata tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Kemuning itu cubaan menyemarakkan sentimen perkauman melampau dengan melempar tuduhan melulu.

Sehubungan itu, PAS Selangor menggesa Ganabatirau membantu siasatan pihak berkuasa dengan membuktikan tuduhannya yang “liar, jahat dan merbahaya” yang disebarkan melalui Facebook.

“PAS sama sekali tidak akan berkompromi dalam isu-isu yang melibatkan pencerobohan rumah ibadat orang bukan Islam dan serangan ke atas penganut agama lain atas semangat perkauman yang sempit,” kata Abdul Halim dalam satu kenyataan media.

Ganabatirau kemudian mengubah kenyataannya di Facebook dengan menukar perkataan “kumpulan Muslim” kepada “kumpulan samseng”, selepas mendapat kecaman orang ramai.

Dalam kenyataannya, exco Pemberdayaan Dan Pembangunan Sosio Ekonomi Dan Kerajaan Prihatin itu menyifatkan serangan tersebut cubaan mewujudkan suasana tidak harmoni antara kaum di Malaysia.

Dalam kejadian awal pagi tadi, lebih kurang 200 orang bersenjata dilaporkan menyerbu tapak kuil itu pada jam 2.15 pagi sehingga menyebabkan beberapa orang cedera dan lebih 10 kereta terbakar.

Sami kuil S. Jayakumar menegaskan mereka tidak akan mengosongkan kuil itu dan mahu kerajaan negeri campur tangan untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

Beliau menyalahkan pihak pemaju yang katanya mahu mengambil tanah tapak kuil itu.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari dalam satu kenyataan menggesa semua pihak bertenang serta tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan yang bersifat perkauman, kebencian dan menghasut.

Beliau mengulangi kenyataan pihak polis bahawa apa yang berlaku adalah perselisihan faham antara dua kumpulan dan tidak membabitkan unsur perkauman.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tapah M. Saravanan yang meninjau keadaan di kuil berkeaan mendesak kerajaan dan pihak polis untuk mengambil tindakan yang sewajarnya dengan kadar segera terhadap pencerobohan tersebut.

“Kerajaan perlu membuktikan komitmen mereka terhadap masyarakat India dengan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap 200 orang ini,” katanya.

the malaysian insight

.