KADIR: SKIM PERUMAHAN P2P DEDAH K’JAAN DENGAN KRONISME

Cara skim perumahan pembiayaan rakan sebaya (P2P) untuk pemilikan hartanah yang diumumkan selepas pembentangan Bajet 2019, mendedahkan kerajaan kepada dakwaan amalan kronisme, kata penasihat media perdana menteri, A Kadir Jasin.

Beliau walau bagaimanapun menegaskan bahawa tulisan di blognya itu dibuat atas kapasitinya sebagai seorang blogger dan tiada kena mengena dengan apa-apa jawatan yang dipegangnya.

“Belanjawan dibentangkan pada Jumaat dan pada Ahad, pihak-pihak yang dipercayai telah menyerahkan cadangan itu mendedahkan butirannya kepada orang ramai.

“Walaupun adalah kebiasaan bagi kerajaan untuk menerima cadangan daripada orang ramai, namun cara pembiayaan dana masyarakat kepada masyarat diumumkan kepada orang ramai mendedahkan kerajaan dengan tuduhan amalan kronisme dan nepotisme.

“Betul, menteri kewangan boleh mengumumkannya sebagai satu dasar, tetapi cara yang betul untuk melakukan ini adalah dengan meminta seberapa banyak cadangan yang mungkin supaya kerajaan mempunyai banyak pilihan,” kata Kadir.

Menurutnya, walaupun beliau mahu projek itu berjaya, namun orang ramai akan terus membangkitkan persoalan mengenai perkara itu.

Pengerusi EdgeProp, Tong Kooi Ong berkata skim itu bertujuan sebagai penyelesaian untuk membantu rakyat Malaysia, terutama mereka dengan keluarga yang muda, yang ingin memiliki rumah sendiri daripada menyewa.

Namun Kadir mencadangkan penyelesaian yang berbeza.

“Saya fikir jika kita selesaikan masalah gaji dan pendapatan yang rendah, kita akan selesaikan masalah perumahan ini,” katanya, sambil menambah bahawa gaji tetap tidak berubah sementara harga hartanah terus naik.

mkini

.